PLUS tunda pelaksanaan tol RFID
Bernama
Mac 24, 2020 16:10 MYT
Mac 24, 2020 16:10 MYT
PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menunda pelaksanaan sistem kutipan tol menggunakan teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) di semua plaza tol sistem tertutup di Lebuh Raya PLUS dan Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) ke tarikh baharu berikutan penularan wabak COVID-19.
Pengarah Urusan PLUS Datuk Azman Ismail berkata semua ujian dan kerja progresif berkaitan sistem berkenaan dihentikan sementara bagi mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) demi memastikan keselamatan dan kesihatan kakitangan PLUS serta pelanggan lebuh raya.
"Semua persiapan untuk memastikan persediaan RFID di semua lebuh raya kendalian PLUS akan disambung sejurus tempoh PKP berakhir.
"Kami percaya bahawa PKP adalah langkah penting untuk melindungi kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan bukan sahaja kepada petugas kami malah kepada semua rakyat Malaysia daripada risiko COVID-19," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Pelaksanaan sistem kutipan tol RFID itu melibatkan 83 plaza tol sistem tertutup lebuh raya PLUS dan 10 plaza tol di LPT2.
Azman berkata, PLUS akan mengumumkan tarikh baharu bagi pelaksanaan kutipan tol menerusi RFID itu selepas tempoh PKP berakhir.
Sebelum ini, PLUS menyatakan pelaksanaan pembayaran tol RFID itu akan dimulakan pada 1 April ini. - BERNAMA
#Azman Ismail
#COVID-19
#Identifikasi Frekuensi Radio
#LPT
#LPT2
#Pengarah Urusan PLUS
#PKP
#PLUS
#RFID