Tiada sebarang arahan yang dikeluarkan dari Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) untuk menghalang kenderaan berat daripada menggunakan lebuhraya semasa cuti perayaan yang pendek seperti Hari Raya Aidiladha.

Menurut jurucakap Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) Malaysia, mengikut kebiasaannya, hanya semasa cuti biasa yang panjang seperti Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru Cina dan cuti hujung tahun larangan tersebut akan dikeluarkan.

PLUS berkata demikian semasa mengulas mengenai pandangan ramai pihak di media sosial mengenai larangan kenderaan berat menggunakan lebuhraya, ekoran kemalangan ngeri di Kilometer 256, Lebuhraya Utara-Selatan arah utara, selepas Terowong Menora, yang membabitkan dua treler dan enam buah kereta semalam.

Dalam kemalangan pukul 11.30 pagi itu, dua orang maut iaitu, Norhayati Wook, 50, dan Siti Yuslianis Roslan, 20.

Ia dilaporkan bahawa, Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, ACP Ghuzlan Salleh berkata kejadian berlaku di kawasan menuruni bukit apabila sebuah treler dipercayai hilang kawalan merempuh sebuah kereta yang dinaiki lima sekeluarga.

Beliau berkata beberapa kenderaan lain turut terbabit dalam kemalangan itu selepas berlanggar antara satu sama lain kerana tidak sempat mengelak insiden berkenaan.

Lori treler jenis Hino itu dalam perjalanan dari Johor Bahru menuju ke Pulau Pinang dengan membawa muatan jubin mozek, katanya.

Lima kenderaan lain iaitu masing-masing dua dari jenis Proton Alza, Honda City, Perodua Myvi dan Mercedes Benz itu mengalami kerosakan teruk, bagaimanapun pemandu atau penumpangnya tidak mengalami sebarang kecederaan, katanya.

Beliau berkata pemandu treler berusia 40-an berkenaan kini ditahan untuk siasatan lanjut serta ujian air kencing dan darah.

Kejadian berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, katanya.

Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat telah memuatnaikkan beberapa keping gambar yang diambil di tempat kejadian, di laman Facebooknya.

f
Antara gambar kemalangan ngeri itu - Sumber: Facebook Jabatan Bomba dan Penyelamat

g
SUMBER: Facebook Jabatan Bomba dan Penyelamat
g
SUMBER: Facebook Jabatan Bomba dan Penyelamat