PLUS tawar rebat 20 peratus sempena Tahun Baru Cina

Wafa Aula
Februari 2, 2018 04:35 MYT
Rebat tol 20 peratus itu ditawarkan pada empat hari bukan puncak iaitu 12, 13, 20 dan 21 Februari kepada pengguna kenderaan Kelas 1 yang membuat perjalanan melebihi 100 kilometer- Foto BERNAMA
PLUS Malaysia Berhad menawarkan rebat 20 peratus selama empat hari kepada pengguna kad PLUSMiles atau Touch ‘n Go sempena cuti perayaan Tahun Baru Cina.
Rebat tol 20 peratus itu ditawarkan pada empat hari bukan puncak iaitu 12, 13, 20 dan 21 Februari kepada pengguna kenderaan Kelas 1 yang membuat perjalanan melebihi 100 kilometer.
“Penawaran rebat tol 20 peratus tersebut merupakan langkah PLUS untuk menggalakkan orang ramai bergerak pada hari-hari bukan puncak di samping memberi penghargaan kepada pemegang-pemegang kad PLUSMiles dan Touch ‘n Go yang berdaftar dengan portal PLUSMiles kami,” kata Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail.
Rebat ini akan dimasukkan dalam bentuk tambah nilai kepada pemilik kad yang berdaftar di pusat-pusat khidmat pelanggan PLUS di antara 15 Mac sehingga 14 Jun 2018.
Walau bagaimanapun, rebat ini tidak meliputi transaksi tol di Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar, Tanjung Kupang dan Jambatan Pulau Pinang.
Selain daripada pemberian rebat tol, PLUS turut mengeluarkan jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) untuk membolehkan orang ramai merancang perjalanan mereka pada musim perayaan yang akan datang.
Berdasarkan TTA dikeluarkan oleh PLUS, orang ramai dari Lembah Klang menuju ke destinasi yang jauh seperti Johor, Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak Utara disarankan supaya memasuki Lebuhraya Utara-Selatan lebih awal iaitu sebelum jam 10 pagi.
Manakala orang ramai dari Lembah Klang yang menuju ke destinasi yang lebih dekat seperti Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Perak Selatan dan Perak Tengah pula disarankan supaya memasuki lebuh raya selepas jam 10 pagi.
“Ini bertujuan untuk mengagihkan trafik dan mengelakkan kenderaan terkumpul dan ‘bertembung’ di satu-satu lokasi di lebuh raya pada masa yang sama kerana ia boleh menyumbang kepada kesesakan,” tambah Azman.
Sempena cuti perayaan Tahun Baru Cina ini, PLUS Malaysia Berhad menjangkakan kira-kira 1.6 juta kenderaan akan menggunakan Lebuhraya Utara-Selatan, iaitu peningkatan sebanyak 10.3 peratus berbanding hari-hari biasa.
#Azman Ismail #cadangan waktu perjalanan #Lebuhraya Utara-Selatan #PLUS #PLUS Malaysia Berhad #rebat tol #Tahun Baru Cina #tol #Touch n Go
;