PLUS lancar kempen Misi Lestari sempena Hari Kebangsaan & Hari Malaysia
Israr Khalid
September 16, 2023 17:37 MYT
September 16, 2023 17:37 MYT
KUALA LUMPUR:
Sempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini, konsesi lebuh raya terbesar negara, PLUS Malaysia, tampil dengan kempen ‘Misi Lestari’.
Misi PLUS adalah menghubungkan komuniti untuk mencorakkan masa hadapan yang lestari dan selamat. Ia dilaksanakan berdasarkan tiga paksi iaitu membudayakan amalan mesra alam sekitar, memperkasa ekonomi masyarakat setempat dan menyumbang ke arah kehidupan yang lebih selamat dan selesa.
Kempen ini digarapkan dengan sebuah video berdurasi 2 minit 38 saat, yang memaparkan impian dan cita-cita tiga kanak-kanak yang terinspirasi dan kemungkinan yang dapat dicapai hasil kesan positif inisiatif lestari PLUS.
Dimulai dengan Suresh seorang kanak-kanak pencinta alam semulajadi, yang sedang meneroka kehijauan di kawasan perumahannya sambil mengutip sampah dan kemudian membuangnya ke dalam tong kitar semula. Suresh juga dilihat menanam sebatang anak pokok.
Maka, dalam memastikan kehijauan terus wujud pada masa depan bukan sahaja bagi pencinta alam seperti Suresh malah untuk semua rakyat Malaysia, PLUS telah mengambil inisiatif, di mana setakat ini 270,000 pokok dan 2.75 juta kaki persegi pokok rentek dan tumbuhan penutup tanah telah ditanam.
Seterusnya dengan perkongsian cita-cita Mei Ling, kanak-kanak yang ingin menjadi seorang usahawan yang berjaya setelah melihat kegigihan ibunya sebagai salah seorang peniaga di R&R PLUS.
Dengan 29 lokasi R&R, 50 hentian sebelah dan empat restoran jejantas di sepanjang jajaran lebuh raya, PLUS telah membantu lebih 400 usahawan mikro, yang majoritinya dari golongan B40 dengan pelbagai bentuk latihan untuk bukan sahaja memulakan perniagaan malah untuk kekal berniaga. Ini secara langsung telah membantu kelangsungan hidup masyarakat setempat dengan peluang perniagaan dan juga peluang pekerjaan.
Akhir sekali memaparkan Ali yang mahu menjadi seorang wira masyarakat sebagai barisan hadapan seperti ayahnya, seorang pegawai PLUSRonda, yang selalu membantu mereka yang memerlukan di lebuh raya PLUS.
Selaras dengan moto ‘Menjaga Anda di Sepanjang Perjalanan’, PLUS menggerakkan pasukan PLUSRonda yang dedikasi sedia siaga untuk bantuan 24 jam, tujuh hari seminggu dalam memastikan keselesaan dan keselamatan perjalanan pengguna lebuh raya PLUS.
Misi Lestari PLUS: Budayakan amalan hijau, perkasa ekonomi tempatan