PLUS jamin Jambatan Pulau Pinang selamat digunakan

Bernama
Februari 23, 2021 14:40 MYT
Kebakaran itu berjaya dipadamkan sepenuhnya pada 7.30 malam semalam dan tidak melibatkan sebarang kecederaan. - Gambar fail
GEORGE TOWN: PLUS Malaysia Berhad memberi jaminan struktur keseluruhan Jambatan Pulau Pinang adalah kukuh dan selamat untuk digunakan susulan kebakaran kabel milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) di bawah jambatan itu semalam.
Menurut kenyataan PLUS hari ini, kebakaran itu berjaya dipadamkan sepenuhnya pada 7.30 malam semalam dan tidak melibatkan sebarang kecederaan.
"Susulan kejadian, lorong kanan di kedua-dua hala melibatkan lokasi kebakaran akan ditutup selama beberapa hari bagi membolehkan siasatan secara bersama dijalankan oleh TNB, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta polis.
"Sepanjang tempoh berkenaan, PLUS menggalakkan orang ramai menggunakan Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah bagi mengurangkan kesesakan di Jambatan Pulau Pinang susulan penutupan lorong tersebut," demikian menurut kenyataan itu.
BACA: Kabel elektrik bawah Jambatan Pulau Pinang terbakar
Kebakaran | Kabel elektrik punca kebakaran Jambatan Pulau Pinang
-- BERNAMA
#kebakaran jambatan Pulau Pinang #PLUS #TNB #kebakaran #Malaysia
;