PLUS buka semula ruang makan di R&R ikut SOP ditetapkan
Astro Awani
Februari 11, 2021 11:17 MYT
Februari 11, 2021 11:17 MYT
KUALA LUMPUR: PLUS Malaysia Berhad (PLUS) membuka semula semua ruang makan di medan selera kawasan rehat dan rawat (R&R) Lebuh Raya Utara Selatan mulai semalam, selari dengan pengumuman oleh kerajaan.
Pembukaan itu termasuk dua restoran jejantas dan hentian sebelah di lebuh raya kendalian PLUS dan di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2).
"PLUS menasihatkan pelanggan lebuh raya yang berhenti untuk menikmati makanan dan minuman di kawasan-kawasan tersebut agar terus patuh kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan iaitu hanya dua orang dibenarkan berada pada satu meja makan dengan memastikan penjarakan fizikal satu meter.
"PLUS juga menasihatkan pelanggan untuk terus mematuhi SOP keselamatan dengan memakai pelitup muka, mendaftar melalui Aplikasi MySejahtera, menjalani pemeriksaan suhu badan dan mengamalkan penjarakan fizikal satu-meter apabila beratur untuk pembelian makanan atau ketika menggunakan kemudahan di R&R dalam tempoh ini," kata PLUS dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), semua kemudahan di R&R dan hentian sebelah seperti tandas awam dan surau dibuka 24 jam.
Manakala restoran, gerai serta trak bergerak yang menjual makanan dan minuman, termasuk kedai serbaneka, dibenarkan beroperasi mulai jam 6 pagi hingga 10 malam.
"Keselamatan dan keselesaan pelanggan adalah keutamaan kami dan kami menyedari bahawa perniagaan komuniti tempatan antara penjana kepada ekonomi.
"Oleh itu, kami berharap kepada pelanggan yang perlu menggunakan lebuh raya pada tempoh ini dapat menyokong rakan niaga di R&R," tambahnya.
Selain itu, PLUS turut menggalakkan pelanggan membuat pesanan menggunakan fungsi Pra-Pesanan di Aplikasi PLUS.
"Kami berharap pelanggan dapat menikmati pelbagai juadah makanan yang lazat daripada gerai-gerai di 21 R&R terpilih, sama ada untuk menikmati makanan di R&R atau membawa pulang makanan dengan lebih mudah dan senang," katanya.
Pelanggan boleh melihat variasi pilihan makanan yang ditawarkan di R&R terpilih menerusi aplikasi PLUS atau di Orderdisini.plus.com.my atau layari Facebook rasmi PLUS Malaysia untuk mendapatkan lebih maklumat.
Aplikasi PLUS boleh dimuat turun secara percuma melalui google Play Store untuk peranti android atau App Store untuk pengguna iPhone.
#PLUS
#LPT2
#PKP
#perintah kawalan pergerakan
#SOP
#makan R&R
#Rehat & Rawat
#R&R Plus
#PLUS lebuhraya
#PLUS Lebuh Raya