PLUS aktifkan SmartLane di lokasi kritikal, bantu suraikan trafik pada musim cuti
Bernama
Disember 22, 2023 18:37 MYT
Disember 22, 2023 18:37 MYT
KUALA LUMPUR: PLUS Malaysia Berhad (PLUS) akan mengaktifkan laluan SmartLane di beberapa lokasi kritikal bagi membantu menyuraikan trafik yang dijangka meningkat hingga dua juta kenderaan sehari berikutan musim cuti sekolah dan sambutan Krismas serta tahun baharu.
Tertakluk keadaan trafik semasa, PLUS memaklumkan SmartLane akan diaktifkan di laluan antara Persimpangan Senai Utara hingga Persimpangan Kulai (KM19.0 hingga KM27.0 - Arah Utara) mulai hari ini hingga 1 Jan 2024 antara 8 pagi hingga 6 petang.
Laluan lain ialah Persimpangan Port Dickson hingga Persimpangan Seremban (KM260.0 hingga KM263.1 - Arah Utara) mulai esok hingga 25 Dis dan pada 29 Dis hingga 1 Jan 2024 antara 9 pagi hingga 10 malam.
"PLUS juga bersiap sedia mengaktifkan laluan SmartLane di laluan Gua Tempurung - Gopeng (KM306.7 hingga KM297.0 - Arah Utara), Slim River - Sungkai (KM366.8 hingga KM354.0 - Arah Utara).
PLUS menasihatkan orang ramai merancang dan memilih waktu perjalanan sesuai melalui jadual digital My-TTA di aplikasi PLUS, terutama bagi mereka yang ingin melakukan perjalanan antara 22 Dis hingga 1 Jan 2024.
Menurut PLUS pihaknya akan turut mengambil langkah seperti menambah pasukan PLUSRonda dan menghentikan sementara kerja-kerja penyelenggaraan jalan.
Menurut kenyataan itu, pengguna lebuh raya juga dinasihatkan supaya memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik, selain bersedia secara fizikal dan mental untuk perjalanan jauh serta lebih berhati-hati ketika memandu semasa musim hujan.
-- BERNAMA