PLUS aktifkan 18 Smart Lane sempena Aidilfitri

Ridauddin Daud
Mac 27, 2024 16:25 MYT
Ketika laluan Smart Lane diaktifkan, lorong paling kiri yang sedia ada dibuka sebagai laluan tambahan untuk mengoptimumkan penggunaan semua laluan dan meningkatkan kapasiti lorong.
PETALING JAYA: PLUS Malaysia Berhad (PLUS) mengaktifkan 18 laluan Smart Lane di lokasi tumpuan di lebuh rayanya bagi membantu melancarkan pergerakan trafik ketika cuti Hari Raya Aidilfitri bulan depan.
Pengarah Urusan PLUS Malaysia Berhad, Datuk Nik Airina Nik Jaffar berkata, Smart Lane tersebut tidak dibuka setiap masa, sebaliknya hanya diaktifkan ketika kawasan itu menghadapi kesesakan teruk.
Menurutnya, ketika laluan itu diaktifkan, lorong paling kiri yang sedia ada dibuka sebagai laluan tambahan untuk mengoptimumkan penggunaan semua laluan dan meningkatkan kapasiti lorong.
Tambah beliau, PLUS turut melakukan penambahbaikan dengan pemasangan Lampu Hijau Berkelip (Green Flashing Light) untuk menunjukkan bahawa laluan Smart Lane telah diaktifkan.
“Kita juga sediakan lebih banyak lagi papan tanda di lokasi tersebut. Satu kilometer sebelum Smart Lane akan ada papan tanda.
“Selepas satu kilometer, dalam 500 meter sebelum Smart Lane, ada satu lagi papan tanda.
“Pengguna hanya boleh masuk Smart Lane kalau nampak lampu hijau. Kalau nampak lampu berkelip hijau, boleh masuk ke laluan tersebut,” katanya.
Tambah beliau, Smart Lane hanya akan diaktifkan pada waktu siang kerana agak berbahaya untuk pengguna motosikal sekiranya diaktifkan pada waktu malam.
Katanya lagi, PLUS akan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dalam menghebahkan pengaktifan laluan itu di media sosial.
Nik Airina berkata demikian pada sesi Taklimat Media PLUS Pertingkatkan Persediaan Menguruskan Pertambahan Trafik Sempena Musim Perayaan di Persada PLUS pada Rabu.
Antara lokasi Smart Lane tersebut ialah laluan dari Gua Tempurung ke Gopeng, Slim River ke Sungkai, Setia Alam ke Shah Alam, Bukit Tambun (U) ke Plaza Tol Juru dan Bandar Cassia ke Hentian Sebelah Sungai Bakap.
Lorong Smart Lane juga akan diaktifkan di laluan Port Dickson ke Seremban, Kulai ke Senai dan Pandan ke Kempas.
Dalam pada itu, PLUS menjangkakan 2.1 juta trafik pada waktu puncak semasa perayaan Aidilfitri kelak, peningkatan 15 peratus berbanding 1.82 juta trafik pada hari biasa.
PLUS menetapkan 5, 6, 9, 12, 13 dan 14 April 2024 sebagai tarikh puncak yang mana melibatkan pergerakan pulang ke kampung dan juga kembali ke Lembah Klang.
#PLUS #smart lane #senarai smart lane #lokasi smart lane
;