PLKN dimansuhkan, nasib 2,100 kakitangan kontrak tetap terbela

Bernama
Disember 3, 2018 17:43 MYT
PLKN White Resort yang terdapat di Jalan Genting, Balik Pulau pada Ogos lalu. - BERNAMA
Nasib 2,100 kakitangan kontrak Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) tetap terbela meskipun Kabinet telah memutuskan untuk memansuhkan program itu sejak Ogos lalu.
Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, kementeriannya sedang dalam usaha membantu kakitangan itu mendapat pekerjaan sama ada dalam kerajaan mahupun di sektor swasta.
"Kita memberi fokus membantu pegawai kontrak sedia ada dengan mencari tempat pekerjaan untuk mereka selain 'soft landing' diadakan dari bulan enam hingga bulan 12 dan sambil itu gaji tetap dibayar.
"Mungkin kita akan pertimbangkan untuk menyerap mereka ke program yang akan dilaksanakan kementerian seperti Program Sekolah Kepemimpinan Masa Depan Malaysia (MFLS) yang akan diadakan tahun depan. Mungkin kita tidak boleh nak ambil (serap) semuanya (kakitangan), tetapi kita akan cuba membantu sebaik mungkin," katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Negara, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Senator Mohamad Imran Abd Hamid yang ingin tahu pendekatan yang diambil kerajaan bagi membela nasib kakitangan PLKN.
Syed Saddiq berkata kementerian itu menerusi ketua setiausahanya turut mengadakan perjumpaan bersama kakitangan kontrak PLKN pada minggu lalu bagi menerangkan hala tuju masa depan yang akan dilaksanakan kementeriannya. -- Bernama
BACA: Isu penamatan kontrak kem latihan PLKN dibawa kepada PM hari ini
BACA: Pakatan Harapan bukan suka-suka tamatkan kontrak penjawat awam - Hanipa
#pekerja kontrak #penjawat awam #plkn #Program Latihan Khidmat Negara #Syed Saddiq
;