PLKN bukan 'kem percutian'

Syakirah Zulkifly
Februari 21, 2018 15:58 MYT
Datuk Mohmed Asri Yusof berkata dakwaan itu adalah tidak tepat dan menambah bahawa pihaknya sentiasa menambah baik pelaksanaan program itu melalui konsep baharu yang menjalinkan keperluan kemahiran dan kenegaraan. -Foto Astro AWANI
Dakwaan Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) kononnya Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) umpama 'kem percutian' disangkal penyelaras program tersebut.
Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Datuk Mohmed Asri Yusof berkata dakwaan itu adalah tidak tepat dan menambah bahawa pihaknya sentiasa menambah baik pelaksanaan program tersebut.
"Makmal Transformasi PLKN ialah strategi pertama di dalam Pelan Transformasi Belia Negara untuk mengkaji semula PLKN dengan satu konsep baharu yang menjalinkan keperluan kemahiran dan kenegaraan," kata Mohmed Asri.
Menurutnya, makmal itu diwujudkan bagi mendapatkan maklum balas pihak berkepentingan berhubung transformasi yang bakal dilaksanakan terhadap PLKN.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media di sini sebagai menjawab dakwaan 'kem percutian' oleh Patriot sebagaimana yang dilaporkan beberapa portal pada Khamis.
Kata Mohmed Asri lagi, JLKN juga telah menambah lapan modul baharu dalam latihan Program Pembelajaran Bersepadu untuk meningkatkan program pembelajaran kepada pelatih-pelatih.
“Antara modul yang ditambah adalah i-Upgrade adalah untuk meningkatkan jati diri seperti pendedahan aktiviti kerohanian berdasarkan agama-masing-masing.
"Manakala Fit4Life lebih kepada fizikal dan gaya hidup sihat dan Malaysiaku, Be Safe, Be Alert ialah modul kenegaraan yang mempunyai elemen sejarah cintakan negara,” kata Mohmed Asri.
Katanya lagi, pelatih akan didedahkan mengenai kursus-kursus bidang kemahiran untuk meningkatkan bilangan pekerja mahir pada masa hadapan dan mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing.
Tambah beliau, selepas tamat latihan PLKN, bekas pelatih diberi peluang untuk menyertai Briged Sukarelawan Khidmat Negara (BSKN) dalam program sukarelawan nasional seperti memberi bantuan apabila berlaku musibah di negara ini.
Sementara itu, bekas pelatih PLKN Cecilia Raj Selvaraj yang hadir pada majlis itu mengaku program tersebut banyak memberikan nilai semangat patriotisme kepada dirinya.
Menurutnya, masalah perkauman boleh tercetus disebabkan kurangnya semangat perpaduan dalam diri setiap individu.
#Belia #BSKN #Dato' Mohmed Asri Yusof #JLKN #nilai #Patriot #pekerja asing #plkn
;