PLKN 3.0: Kerajaan belanja RM64 sehari untuk setiap peserta
Bernama
Disember 16, 2024 20:30 MYT
Disember 16, 2024 20:30 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan secara purata membelanjakan RM64 sehari bagi setiap peserta Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Beliau berkata kos itu merangkumi perbelanjaan untuk makan dan minum, penginapan dan keperluan lain sepanjang tempoh latihan dilaksanakan.
"Selain itu, kerajaan akan menanggung kos pengangkutan pergi dan balik bagi peserta," katanya dalam sidang media di Bangunan Parlimen hari ini.
Mengulas mengenai isu elaun kepada peserta, Mohamed Khaled berkata tiada peruntukan untuk elaun harian kepada peserta seperti yang dilaporkan media sebelum ini.
"Setakat ini, kerajaan belum ada berbincang atau membuat sebarang persetujuan mengenai elaun berkenaan," katanya.
Mohamed Khaled berkata pelaksanaan PLKN 3.0 akan dimulakan dengan latihan percubaan melibatkan 200 peserta, terdiri daripada 148 lelaki dan 52 perempuan, dari 12 Jan hingga 25 Feb 2025.
"Bagi latihan percubaan ia akan melibatkan (menggabungkan peserta) lelaki dan perempuan namun pada siri seterusnya peserta akan diasingkan mengikut jantina di kem-kem Wataniah," katanya.
Beliau berkata bagi memastikan tiada kes buli berlaku dalam kalangan peserta, Kementerian Pertahanan akan menugaskan 32 warden untuk 24 jam di kem yang terlibat selain melakukan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di seluruh kawasan kem.
"Biasanya kes buli ini berlaku apabila wujudnya keadaan ada senior dan junior tetapi bagi peserta PLKN semua datang sama masa tidak ada yang kekal dan tidak ada yang baharu, jadi tidak ada senior, tidak ada junior.
"Namun, kita tetap melaksanakan langkah pencegahan dan saya harap media dapat menjelaskannya (kepada masyarakat) supaya tidak ada kebimbangan," katanya.
Terdahulu, Mohamed Khaled pada sesi soal jawab memberitahu persidangan Dewan Negara bahawa kerajaan akan melaksanakan mekanisme pemantauan serta penilaian keberkesanan yang menyeluruh dan berterusan terhadap semua peserta PLKN 3.0.
Beliau berkata ini penting bagi memastikan program mencapai objektifnya termasuk dalam menyemai patriotisme, memupuk perpaduan dan membina kepimpinan dan disiplin diri yang cemerlang dalam kalangan generasi muda.
Beliau menjawab soalan Senator Datin Ros Suryati Alang yang ingin tahu sama ada kerajaan yakin bahawa model PLKN baharu ini dapat membentuk jati diri dan membina modal insan yang cemerlang kepada negara di masa depan.
-- BERNAMA