PLKN 3.0 dilaksana berdasarkan kajian terperinci, mendalam - Mohamed Khaled
Bernama
Disember 6, 2024 20:45 MYT
Disember 6, 2024 20:45 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan dan Kementerian Pertahanan telah menjalankan kajian terperinci secara kuantitatif dan kualitatif pelaksanaan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Ringkasan AI
- PLKN 3.0 akan dilaksanakan pada 2025 dengan konsep dan format baharu, berdasarkan kajian terperinci yang menunjukkan hasil positif terhadap patriotisme dan perpaduan belia.
- Program ini tidak hanya fokus kepada latihan ketenteraan, tetapi juga merangkumi Modul Kenegaraan untuk memupuk nilai murni, semangat sukarelawan, dan jati diri.
- Latihan percubaan akan bermula pada Januari 2025 di 13 kem Askar Wataniah, universiti awam, IPG, dan politeknik, dengan fokus meminimumkan kos sambil memperkukuh pembangunan anak muda.
Beliau berkata beberapa kajian akademik itu, bagi mengukur impak pelaksanaan program berkenaan selain statistik penglibatan belia, kadar kepuasan peserta dan pengukuran tahap patriotisme telah menunjukkan hasil positif.
"PLKN 3.0 akan dilaksanakan dengan konsep dan format baharu untuk warganegara Malaysia berumur 17 tahun dan ke atas mulai tahun 2025. Konsep dan format baharu ini mengambil kira penilaian terhadap pelaksanaan PLKN yang terdahulu," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab kepada cadangan Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Pembinaan Negara Bangsa, Pendidikan dan Pembangunan Sumber Manusia Datuk Seri Saifuddin Abdullah, supaya Kerajaan tidak meneruskan pelaksanaan PLKN 3.0.
Mohamed Khaled berkata objektif pelaksanaan semula program itu jelas sebagai wadah pembentukan generasi baharu yang menitikberatkan semangat patriotisme, mengamalkan nilai-nilai murni, sentiasa memupuk semangat perpaduan dan menanamkan semangat kesukarelawanan.
"Pada masa yang sama, PLKN 3.0 berperanan dalam memupuk minat anak muda menceburi bidang ketenteraan serta menyumbang kepada negara dan atas dasar itu, PLKN 3.0 tidak boleh hanya dilihat sebagai latihan asas ketenteraan semata-mata.
"Tetapi satu program yang turut merangkumi Modul Kenegaraan (Elemen Jati Diri, Elemen Cinta Negara dan Elemen Perpaduan) bagi memenuhi objektif yang telah digariskan," katanya.
Beliau berkata membandingkan antara PLKN 3.0 dengan program kerahan tenaga negara-negara luar merupakan suatu perbandingan yang tidak setara, memandangkan pelaksanaan program berkenaan lebih memfokuskan kepada perkhidmatan ketenteraan yang aktif untuk satu tempoh yang panjang.
"Bagi memastikan segala kelemahan semasa pelaksanaan PLKN yang terdahulu, Kementerian Pertahanan kini sedang membuat persediaan rapi untuk melaksanakan latihan percubaan dan projek perintis bagi PLKN 3.0 di kem-kem Askar Wataniah yang akan bermula seawal Januari 2025," katanya.
Dalam meminimumkan perbelanjaan, Mohamed Khaled berkata Kementerian Pertahanan akan melaksanakan PLKN di 13 kem Askar Wataniah, 20 universiti awam, Institut Pendidikan Guru (IPG) dan beberapa politeknik di seluruh negara.
"Kementerian Pertahanan berpandangan bahawa usaha memupuk patriotisme dan nilai jati diri yang baik dalam diri anak muda bukanlah perkara yang bersifat sampingan, sisipan atau secondary kepada negara.
"Secara rumusan, PLKN 3.0 penting dan kritikal dalam pembinaan negara bangsa. Keadaan sekarang merupakan satu situasi yang sangat menyokong dan mewajarkan pelaksanaan semula program ini," katanya.
-- BERNAMA