Plaza Tol Shah Alam ditutup sepenuhnya akibat banjir - PLUS

Bernama
Disember 18, 2021 12:41 MYT
Plaza tol PLUS akan dibuka semula sebaik sahaja PLUS mengesahkan ia selamat. - Gambar/ Media sosial
KUALA LUMPUR: PLUS Malaysia Berhad (PLUS) telah menutup sepenuhnya Plaza Tol Shah Alam dan jalan susur persimpangannya mulai 2 petang hari ini, akibat banjir susulan hujan lebat sejak 24 jam lepas.
Setakat ini, PLUS memaklumkan bahawa satu-satu jalan keluar yang dibuka untuk dilalui ialah di Plaza Tol Subang dan Seafield untuk laluan ke arah selatan dan utara, sementara laluan masuk di Bukit Raja serta laluan Setia Alam ke Shah Alam juga ditutup.
Pemandu yang melalui jalan antara Setia Alam ke Shah Alam dan Subang menghala Shah Alam/Elite dikehendaki membuat pusingan-U kecemasan melalui akses sementara yang disediakan oleh PLUS.
Ketua Pegawai Operasi PLUS Datuk Zakaria Ahmad Zabidi berkata kakitangan PLUS sedang bekerja untuk menguruskan keadaan dan membantu melancarkan aliran trafik.
"Kami kesal dengan kesulitan yang timbul akibat banjir ini susulan hujan lebat berterusan dalam tempoh 24 jam lepas. Plaza tol PLUS akan dibuka semula sebaik sahaja kami mengesahkan ia selamat," kata Zakaria dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau turut menasihati pengguna jalan raya supaya mematuhi papan tanda amaran dan arahan pihak berkuasa di lokasi.
PLUS juga telah memaklumkan kepada semua pengguna lebuh raya melalui Sistem Pemesejan Berubah (VMS) mengenai penutupan itu dan akan menyebarkan maklumat lanjut sebaik sahaja ada, menurut kenyataan itu.
Maklumat yang dikemas kini juga akan dimuat naik di laman web PLUS www.plus.com.my dan platform media sosial termasuk Facebook dan Twitter PLUS Malaysia, katanya.
-- BERNAMA
#banjir selangor #banjir shah alam #plaza tol shah alam #PLUS