Platform media sosial perlu letak tanda 'notis AI' dalam setiap kandungan AI dimuat naik - Fahmi
Bernama
Ogos 15, 2024 15:51 MYT
Ogos 15, 2024 15:51 MYT
KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil mahukan platform media sosial supaya meletakkan notis 'Kecerdasan Buatan (AI)' dalam setiap kandungan AI yang dimuat naik di platform masing-masing bagi mengelak berlaku insiden tidak diingini.
Beliau berkata semua platform media sosial wajib bertanggungjawab terhadap apa yang berlaku di platform mereka.
"Sekiranya sesuatu bahan itu telah dihasilkan melalui Generatif AI, seharusnya platform-platform ini meletakkan tanda dengan notis 'Generated by Artificial Intelligence'.
"Di situ para pengguna media sosial akan tahu itu adalah AI, dan inilah antara sebabnya kenapa akhirnya nanti kita akan melesenkan semua platform media sosial, kerana kita hendak mereka bertanggungjawab bila ada insiden-insiden seperti ini," katanya.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas insiden pempengaruh media sosial terkenal Khairul Aming yang menjadi mangsa video palsu menggunakan teknologi Deep Fake.
Beliau berkata Kementerian Komunikasi berhasrat mengelak insiden ini daripada terus berulang kerana ketika ini platform media sosial dilihat seolah-olah 'lepas tangan'.
Sementara itu Fahmi berkata beliau tidak pernah mengeluarkan arahan kepada Google untuk menyahaktifkan ciri graf pertukaran nilai matawang ringgit seperti yang didakwa oleh seorang pengguna di platform X.
"Saya tidak pernah mengarahkan Google menurunkan apa yang disebutkan sebagai Foreign Exchange Tool atau Widget bila kita buat carian di Google. Dalam Google itu sendiri kita boleh dapatkan maklumat pertukaran wang asing.
"Namun kita perlu ingat pada bulan Mac lepas berlaku satu insiden mengenai percanggahan maklumat daripada pemberi data kepada Google, yang berbeza dengan apa yang dirakam di Bank Negara," katanya.
Mengulas lanjut Fahmi berkata pihak Google telah memaklumkan bahawa sejak bulan Mac hingga hari ini ada beberapa perkara yang mereka sedang teliti dengan pemberi data, dan mereka memaklumkan belum lagi berpuas hati dengan tahap ataupun keyakinan yang mereka ada.
"Jadi kita serahkan dahulu kepada pihak Google," katanya.
Baru-baru ini tular di platform X kenyataan seorang pengguna mendakwa Fahmi telah memberi arahan kepada google untuk menurunkan Widget tersebut, yang mengundang pelbagai reaksi daripada pengguna laman berkenaan.
-- BERNAMA