Platform fail aduan, cabar tindakan turunkan kandungan media sosial akan diwujudkan

Bernama
Mac 3, 2025 14:30 MYT
Teo Nie Ching berkata, menerusi platform itu, pengguna media sosial juga boleh mengemukakan alasan yang munasabah bagi mempertahankan setiap kandungan mereka daripada diturunkan. -Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Platform yang membolehkan pemilik akaun memfailkan aduan bagi mencabar tindakan menurunkan sebarang kandungan di media sosial akan diwujudkan di bawah Rang Undang-Undang Keselamatan Dalam Talian 2024.

Ringkasan AI
  • Platform untuk memfailkan aduan terhadap tindakan menurunkan kandungan di media sosial akan diwujudkan di bawah Rang Undang-Undang Keselamatan Dalam Talian 2024.
  • Pengguna media sosial boleh mempertahankan kandungan mereka melalui tribunal yang disediakan.
  • MCMC akan menjalankan penelitian untuk memastikan penyedia perkhidmatan mematuhi kerangka pelesenan yang ditetapkan.

Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata menerusi platform itu, pengguna media sosial juga boleh mengemukakan alasan yang munasabah bagi mempertahankan setiap kandungan mereka daripada diturunkan.
"Di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian, kita akan wujudkan satu platform yang sesiapa sahaja kalau kandungan mereka diturunkan boleh memfailkan aduan dalam tribunal tersebut untuk mereka pertahankan mengapa hantaran itu tak sepatutnya diturunkan.
"Jadi bukan segalanya (di bawah) kuasa MCMC (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia). Kita ada prosedur semak dan imbang untuk memastikan setiap keputusan MCMC juga boleh dicabar," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Datuk Wan Saifulruddin Wan Jan (PN-Tasek Gelugor) mengenai kebimbangan proses pelesenan penyedia perkhidmatan Internet dan media sosial digunakan sebagai alat untuk kerajaan menurunkan kandungan kurang disenangi, terutama semasa musim pilihan raya.
Menjawab soalan lanjut Wan Saifulruddin mengenai tindakan kepada penyedia perkhidmatan Internet dan media sosial yang belum memohon lesen sebagai penyedia perkhidmatan, Teo berkata MCMC sedang menjalankan penelitian lebih mendalam bagi memastikan segala isu penguatkuasaan kerangka pelesenan itu dapat diselesaikan.
Teo berkata bagi tujuan itu, MCMC menjalankan tinjauan sendiri untuk memastikan jumlah sebenar pengguna di penyedia platform berkaitan bagi membolehkan ia dilesenkan.
"Kami dalam proses untuk buat tadbir urus dengan penyedia platform dan proses dah mula dengan Meta (yang mengoperasikan platform Facebook, Instagram dan WhatsApp), X dan Google.
"X pertikai mereka mempunyai lapan juta pengguna Malaysia dalam platform mereka...oleh sebab itu, X kata mereka tak perlu memohon lesen tersebut, jadi MCMC perlu buat kajian sendiri untuk pastikan jumlah pengguna yang ada supaya boleh hujah balas dengan X untuk mereka perlu dapatkan lesen di bawah kerangka perlesenan ini," katanya.
-- BERNAMA
#Dewan Rakyat #Teo Nie Ching #kandungan di media sosial #Rang Undang-Undang Keselamatan Dalam Talian
;