Plat perancah besi terjatuh di Cheras, 7 kereta rosak

Faris Danial Razi
Jun 22, 2021 23:45 MYT
Jenis-jenis kereta yang terlibat adalah dua buah Proton Saga, Proton Wira, Mitsubishi Pajero, Proton Iriz, Perodua Myvi dan Honda City. - JBPM KL
KUALA LUMPUR: Sebuah plat perancah besi terjatuh di kawasan bangunan dalam pembinaan bersebelahan Flat Sri Sabah, Jalan Ikan Emas, Cheras pada pagi Selasa.
Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa atau kecederaan mangsa dilaporkan.
Menurut jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, insiden berlaku kira-kira jam 9.50 pagi.
“Kami terima panggilan kecemasan pada jam 9.53 pagi, seterusnya menghantar jentera ke tempat kejadian.
“Pasukan bomba mendapati sebuah plat perancah besi telah terjatuh semasa kerja-kerja mengangkat dilakukan oleh kren.
“Ia menghempap tujuh buah kereta yang diletakkan bersebelahan tapak projek,” jelas kenyataan yang dikeluarkan malam Selasa.
Kereta yang terlibat adalah dua Proton Saga selain masing-masing sebuah Proton Wira, Mitsubishi Pajero, Proton Iriz, Perodua Myvi dan Honda City.
#GERAKAN #pusat gerakan operasi #FRT #bomba #Cheras #kemalangan #Kuala Lumpur #plat perancah besi #terjatuh
;