Plat kenderaan "1MCY" sempena tahun pengkomersialan
Bernama
Januari 23, 2014 07:30 MYT
Januari 23, 2014 07:30 MYT
Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) akan mengeluarkan plat nombor kenderaan khas bagi mempromosikan tahun pengkomersialan (MYC) kepada umum.
Menterinya Datuk Dr Ewon Ebin berkata kementerian kini sedang menunggu kelulusan daripada kabinet sebelum dapat mengeluarkan plat khas sebanyak 370 unit itu.
"Plat ini menggunakan huruf depannya "1MCY", ia mengggunakan teknologi sistem pengesanan lokasi (GPS) serta mempunyai bahan pembias cahaya.
"Bagaimanapun kementerian masih menunggu kelulusan kabinet untuk mengeluarkan plat ini, sekiranya diluluskan nanti, pengguna jalan raya boleh membelinya di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengikut harga yang telah ditetapkan JPJ," katanya kepada pemberita selepas melancarkan tahun Pengkomersialan Mosti (MCY) 2014 di Ibu Pejabat Sirim di sini pada Khamis.
Beliau menambah plat khas itu hanya dikeluarkan pada tahun ini dan pihaknya tidak bercadang untuk meneruskannya bagi tahun-tahun akan datang.
Mengulas lanjut, Ewon berkata kementeriannya meletakkan sasaran mengkomersialkan sekurang-kurangnya 60 produk hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) setiap tahun.
Katanya, menerusi langkah itu pihaknya yakin negara mampu mengeluarkan lebih 360 produk tempatan berinovasi daripada pelbagai bidang menjelang 2020.
"Tahun-tahun sebelum ini, kita hanya menyasarkan 20 produk untuk dikomersialkan, dengan mengisytiharkan 2014 sebagai tahun pengkomersilan produk kita berharap angka ini dapat ditingkatkan dengan 60 buah produk dikomersialkan (setiap tahun)," katanya.
Beliau berkata langkah itu juga dapat menggelak produk inovasi yang dihasilkan disimpan tanpa dikomersialkan.
Katanya, kementerian juga sentiasa memastikan setiap aktiviti penghasilan dan pengkomersialan produk inovasi dijalankan berterusan selain merangka pelbagai langkah bagi memajukan bidang tersebut.
"Ini termasuk membantu para penyelidik dalam usaha mengkomersialkan produk mereka terutama produk bioteknologi pertanian, bioteknologi perniagaan kesihatan dan bioteknologi industri, menerusi Jawatankuasa Pengkomersialan," tambahnya.
#1MCY
#Ewon Ebin
#Jabatan Pengangkutan Jalan
#JPJ
#Kementerian Sains
#MOSTI
#MYC
#tahun pengkomersialan
#Teknologi dan Inovasi