Plan KL 2020 perlu digazetkan - Khalid Samad

Firdaus Azil
Oktober 29, 2018 05:26 MYT
Kementerian Wilayah Persekutuan harus gazetkan secepat mungkin kerana kos untuk mewujudkan draf itu agak tinggi, dan melibatkan dana awam.
Draf Pelan Bandaraya Kuala Lumpur 2020 perlu digazetkan bagi memastikan kawasan tertentu seperti taman-taman awam, dapat dilindungi dari dijadikan pusat pembangunan komersial, tegas Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad.
Jelas Ahli Parlimen Shah Alam itu, beliau sedar ia akan menimbulkan rasa kurang senang pihak-pihak tertentu kerana jika diikutkan draf itu perlu digazetkan pada 2013, dan ada kawasan-kawasan tertentu sepatutnya dilindungi di bawah pelan itu, tetapi telah dilanggar kerana ia tidak dikuatkuasakan.
“Kalau kita tak gazet, tak ada perlindungan terhadap kawasan-kawasan ini. Kerana Menteri dan Datuk Bandar ada kuasa mutlak atas apa dia nak buat.
"Nak jadikan taman bunga Kuala Lumpur sebagai tapak pembangunan komersial pun dia boleh buat pasal kerana draf ini tak digazetkan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Sejarah Kuala Lumpur, di ibu negara, hari ini.
Pada Ogos lepas, Khalid sewaktu sidang Parlimen berkata kerajaan Pakatan Harapan (PH) akan mewartakan draf Pelan Bandaraya Kuala Lumpur 2020 walaupun ia telah tertangguh selama tiga tahun.
Beliau berkata, kementerian harus menggazetkan secepat mungkin kerana kos untuk mewujudkan draf itu agak tinggi dan melibatkan dana awam.
#draf #kerajaan #Khalid Abdul Samad #Khalid Samad #KL2020 #Kuala Lumpur #menteri #Pakatan Harapan #Parlimen #shah alam