Plagiarisme satu jenayah akademik - Sultan Nazrin

Nazialita Geynna Maharan
November 18, 2017 11:06 MYT
SULTAN NAZRIN: "Plagiarisme semakin membentangkan cabaran kepada dunia pendidikan setelah bermulanya World Wide Web dengan maklumat tersangat mudah diperoleh secara elektronik melalui Internet." - Gambar fail
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, plagiarisme atau penjiplakan adalah satu jenayah akademik serta perilaku mungkar terhadap ilmu dan para ilmuwan yang wajib ditangani secara tegas.
Titah baginda, penjiplakan wajib diberi perhatian serius dan pihak berkaitan wajar memformulasi kaedah pemantauan yang berkesan demi memastikan integriti serta kredibiliti sesebuah universiti terus terpelihara.
Baginda yang juga Canselor Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) bertitah, penjiplakan semakin membentangkan cabaran kepada dunia pendidikan setelah bermulanya World Wide Web dengan maklumat sangat mudah diperoleh melalui Internet.
"Pada masa ini, maklumat begitu mudah disalin, ditiru dan ditampal dalam kerja kursus serta laporan yang disediakan oleh para pelajar," titah baginda.
Sultan Nazrin bertitah demikian ketika menyempurnakan Istiadat Konvokesyen Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) ke-10 di Dewan Jubli Perak di sini, hari ini.
Turut mengiringi baginda, Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan, Naib Canselor USAS, Profesor Tan Sri Dr. Nordin Kardi serta Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Datuk Dr. Muhammad Amin Zakaria.
Sultan Nazrin bertitah, reputasi kegemilangan sesebuah universiti tidak ditentukan oleh bilangan siswazah yang dihasilkan sahaja tetapi lebih kepada kualiti.
Titah baginda, kualiti diambil kira daripada siswazah yang berwibawa serta berintegriti, memiliki daya analisis, pemikiran kritikal serta berpegang kepada prinsip yang berteraskan fakta selain tegas dan berani menyatakan kebenaran.
Selain itu, baginda bertitah warga akademik sukar untuk menyemak sepenuhnya kesahihan dan keaslian kerja kursus serta bahan penyelidikan pelajar, dengan lambakan jumlah bahan yang terkandung di dalam Internet.
"Demi nama baik USAS daripada tercemar, perbuatan penjiplakan perlu dijauhi baik dalam kalangan pelajar mahupun warga akademik," titah baginda.
Titah Baginda lagi, kebelakangan ini, perbuatan penjiplakan semakin banyak dilaporkan berlaku termasuk di luar negara.
"Di Jerman, mantan Menteri Pertahanan dan Naib Presiden Parlimen Eropah, meletak jawatan selepas mereka dikesan memplagiat disertasi ijazah Doktor Falsafah masing-masing.
"Seorang pendaftar universiti di United Kingdom dikenakan hukuman penjara setelah didapati menjual ijazah palsu kepada seorang wanita Afrika sebagai imbalan untuk memuaskan nafsunya; sementara London School of Economics terpaksa menangani dakwaan plagiarisme di dalam tesis PhD, Saif el-Islam Gaddafi, anak kedua Muammar Gaddafi.
"Manakala di Pakistan, lebih daripada 140 penggubal undang-undang didapati bersalah kerana memiliki ijazah palsu," titah baginda.
Sehingga istiadat Konvokesyen Kesembilan pada tahun 2016, seramai 2,252 graduan telah menerima diploma daripada institusi ini.
Istiadat Konvokesyen kali ini mencipta sejarah baru apabila julung-julung kalinya, USAS menganugerahkan graduan dengan ijazah.
Ia melibatkan 41 ijazah Sarjana dan 17 ijazah Sarjana Muda bersama 785 penerima diploma dengan jumlah keseluruhan 843 penerima.
Jumlah pelajar kini meningkat kepada 6,089 orang, 121 daripadanya sedang mengikuti pengajian Doktor Falsafah, dan 225 mengikuti pengajian peringkat Sarjana.
#Canselor Universiti Sultan Azlan Shah #Nazrin Shah #pelajar #Sultan Azlan Shah #Sultan Nazrin Shah #Sultan Perak #USAS
;