PKSK utamakan calon pelajar dari golongan kurang bernasib baik
Israr Khalid
Disember 21, 2021 07:11 MYT
Disember 21, 2021 07:11 MYT
KUALA LUMPUR: Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK) diteruskan untuk pengambilan pelajar Tingkatan 1 dan 4 serta Tahun 1 Vokasional bagi sesi 2022, dengan tetap memberi keutamaan kepada calon dari golongan B40 dan miskin tegar.
Selain daripada pencapaian akademik dan kokurikulum, PKSK mengambil kira pelbagai faktor sekitar status sosioekonomi calon supaya mereka juga lebih berpeluang untuk mendapatkan mutu pendidikan yang lebih baik.
“Kita ambil kita juga pendapatan keluarga, tanggungannya, bilangan anak yang masih belajar, pelajar berstatus yatim atau yatim piatu, lokasi dan keadaan tempat tinggalnya, dan cabaran-cabaran lain yang dihadapi keluarga calon yang memohon.
“Bagaimanapun ia tidak bermakna kita mengetepikan golongan M40 atau T20, mereka juga berpeluang memohon dan akan diterima sekiranya layak serta menepati kriteria yang diperlukan,” kata Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh Kementerian Pendidikan Malaysia, Faridah Yang Ghazali.
Kaedah itu yang memasuki tahun kedua pelaksanaannya menyaksikan penilaian yang lebih saksama untuk pengambilan pelajar baharu ke sekolah-sekolah khusus, iaitu Sekolah Berasrama Penuh (SBP), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), Sekolah Menengah Teknik (SMT), Koleh Vokasional (KV) dan Maktab Tentera Diraja (MTD).
PKSK terbahagi kepada tiga komponen utama, iaitu kecerdasan insaniah, kecerdasan intelek dan artikulasi penulisan.
Kriteria yang diperlukan bagi setiap Sekolah Khusus juga berbeza, maka kaedah pentaksiran juga berbeza mengikut keperluan sekolah berkenaan.
Permohonan bagi sesi 2022 masih dibuka sehingga 31 Disember ini, kemudian mulai 7 Januari 2022 setiap pemohon boleh menyemak status permohonan, tarikh dan lokasi untuk menduduki PKSK yang akan berlangsung pada 17 hingga 27 Januari 2022 bagi Tingkatan 1, dan 7 hingga 17 Februari 2022 bagi Tingkatan 4.
Semakan boleh dibuat di pautan:
Tingkatan 1: https://spskt1.moe.gov.my/
Tingkatan 4/Tahun 1 KV: https://spskt1.moe.gov.my/
Tonton temu bual penuh dalam program Agenda AWANI bersama hos Najib Aroff, di sini:
Kriteria yang diambil kira untuk kemasukan ke SBP
Agenda AWANI: Pentaksiran kemasukan sekolah khusus PKSK 2022