PKS diminta kekal positif, peka terhadap inisiatif kerajaan

Bernama
April 27, 2020 21:49 MYT
Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) menggesa pengusaha perniagaan untuk bangkit daripada krisis COVID-19 dan kekal positif dan melihatnya sebagai peluang untuk menjadi lebih produktif dengan memanfaatkan teknologi. - Bernama
Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) menggesa pengusaha perniagaan untuk bangkit daripada krisis COVID-19 dan kekal positif dan melihatnya sebagai peluang untuk menjadi lebih produktif dengan memanfaatkan teknologi.
"COVID-19 membawa perubahan yang belum pernah terjadi sebelum ini dalam cara kita berniaga dan cara kita berkomunikasi. Perubahan yang sebenarnya harus berlaku, bukan hanya bercakap mengenainya sahaja," kata Timbalan Ketua Pengarah MPC, Ab Rahim Yusof dalam satu kenyataan pada Isnin.
Katanya, sebanyak 76 peratus Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) adalah perusahaan mikro yang menghadapi pelbagai kekangan kewangan, modal insan, kemampuan pengurusan dan pasaran.
Beliau menasihatkan perusahaan-perusahaan ini untuk menangani disiplin pengurusan kewangan mereka dan merancang simpanan tunai, mengkaji model perniagaan mereka dan mempercepatkan penggunaan teknologi digital.
"PKS harus cepat melakukan perubahan dan menggunakan kaedah pembayaran dalam talian untuk urus niaga perniagaan dan aplikasi pendigitalan lain untuk memastikan kecekapan dan produktiviti yang lebih baik dalam proses perniagaan mereka," kata Ab Rahim.
Sementara itu, mereka harus secara proaktif mendapatkan sokongan agensi kerajaan dalam bentuk geran, bantuan dan mesin.
Beliau berkata industri dan perniagaan harus peka terhadap inisiatif dan program kerajaan yang bertujuan untuk memastikan pemulihan ekonomi negara berlaku dengan cepat.
"Sebagai contoh, MPC juga telah menganjurkan pelbagai ceramah mengenao digital dengan memberikan pandangan untuk membantu syarikat dan industri mengatasi tekanan operasi yang dihasilkan di tengah-tengah COVID-19.
"MPC juga menawarkan program peningkatan proses kerja dan pengurangan pembaziran untuk PKS," katanya.
Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) juga menganjurkan program "Readiness Assessment for Industry 4.0" yang membolehkan PKS dinilai di bawah inisiatif tersebut untuk meningkatkan produktiviti dan mengurangkan kebergantunga kepada tenaga kerja asing.
"Sekali lagi, program ini disediakan secara percuma. Permohonan masih dibuka melalui portal MITI, "katanya.
-- BERNAMA
#COVID-19 #ekonomi #kerajaan #koronavirus #MITI #Perbadanan Produktiviti Malaysia #PKS
;