PKRC pertama Johor di Stadium Tertutup MBPG beroperasi sepenuhya 10 Februari

Ernalisa Othman
Februari 3, 2021 21:19 MYT
Petugas KKM melakukan kerja-kerja sanitasi di ruang legar Stadium Tertutup Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG). - Gambar/ Bernama
JOHOR BAHRU: Pusat Kuarantin dan Rawatan (PKRC) COVID-19 pertama di Johor di Stadium Tertutup Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) akan beroperasi sepenuhnya pada 10 Februari ini.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Johor, Datuk Dr Aman Rabu, berkata PKRC berkenaan menempatkan 1,200 katil dengan melibatkan seramai 60 hingga 100 petugas pelbagai agensi.
Beliau berkata PKRC itu akan menerima pesakit positif COVID-19 kategori satu dan dua iaitu mereka yang berisiko rendah dan tidak bergejala.
"PKRC ini mengikut model seperti di PKRC Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di Serdang, yang turut menyediakan fasiliti dan aktiviti-aktiviti untuk pesakit.
"Pesakit yang ditempatkan di sini adalah kategori satu dan dua iaitu tidak berisiko tinggi. Mereka yang tidak sesuai dikuarantin di rumah, seperti tiada bilik air serta jumlah orang di dalam rumah yang terlalu ramai boleh juga ditempatkan di sini," katanya kepada pemberita dalam sidang media selepas mesyuarat berkenaan PKRC di sini hari ini.
Dr Aman berkata PKRC di Stadium Tertutup MBPG akan menempatkan pesakit warganegara sahaja yang berumur lima tahun ke atas, manakala warga asing dihantar ke MAEPS seperti sebelum ini.
Beliau menjelaskan pesakit positif COVID-19 yang akan ditempatkan di PKRC itu juga tetap akan melalui penilaian terlebih dahulu di Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) yang terdapat di setiap daerah di negeri ini.
Katanya, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bersama Jabatan Pengurusan Bencana Negeri dan JKNJ akan melihat fasiliti lain termasuk hotel untuk membuka PKRC swasta yang boleh digunakan majikan atas kos mereka untuk menempatkan pekerja mereka yang positif.
#Johor #PKRC #pertama #beroperasi sepenuhnya #COVID-19 #Stadium Tertutup #MBPG #Jabatan Kesihatan Negeri #Dr Aman Rabu
;