PKRC MAEPS masih mampu tampung pesakit bergejala rendah

Bernama
Januari 24, 2021 04:00 MYT
Secara purata, penggunaan katil di PKRC itu ialah 3,000 hingga 3,500, dan setakat ini masih terdapat kira-kira 5,000 katil yang masih belum digunakan. - Foto fail
SHAH ALAM: Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) masih mampu menampung pesakit COVID-19 bergejala rendah di Selangor, kata Pengarah Kesihatan negeri Datuk Dr Sha'ari Ngadiman.
Beliau berkata secara purata, penggunaan katil di PKRC itu ialah 3,000 hingga 3,500, dan setakat ini masih terdapat kira-kira 5,000 katil yang masih belum digunakan.
"Di PKRC MAEPS, kita ada sebanyak 9,350 katil yang disediakan untuk pesakit bergejala rendah kategori 1 dan 2 dan sekarang kita sudah letakkan 60 'acute bed' untuk merawat pesakit kategori 3 dan 4 (sekiranya berkeperluan).
"PKRC ini direka bukan sahaja untuk menerima kes-kes positif dari Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur tetapi juga pesakit dari Melaka, Negeri Sembilan serta Johor," katanya ketika dihubungi Bernama pada Ahad.
Sebelum ini, tular beberapa video menerusi media sosial menunjukkan kononnya berlaku kesesakan di PKRC MAEPS akibat pertambahan jumlah pesakit yang mendadak.
Pada 9 Dis lalu, kerajaan memutuskan untuk mengaktifkan semula MAEPS sebagai PKRC. Kali pertama MAEPS diaktifkan sebagai PKRC ialah pada 16 April tahun lalu sebelum ditutup pada 15 Julai.
Pembukaan PKRC merupakan usaha kerajaan menempatkan pesakit COVID-19 yang tidak bergejala bagi memastikan kecukupan katil di hospital untuk pesakit bergejala.
Sementara itu, Dr Sha'ari mengesahkan jangkitan membabitkan seorang jururawat di Hospital Shah Alam baru-baru ini adalah daripada komuniti dan bukan berpunca di hospital.
Katanya petugas tersebut sudah disaring dan kini sedang dirawat manakala kesemua kontak rapat sudah menjalani ujian saringan dan didapati negatif.
"Keadaan di Hospital Shah Alam juga terkawal dan kes ini dikategorikan kes terpencil kerana punca jangkitan adalah bukan daripada hospital," katanya.
Dr Sha'ari turut menasihati orang awam agar terus kekal berada di rumah dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengelakkan risiko jangkitan COVID-19.
-- BERNAMA
#COVID-19 #PKRC #perintah kawalan pergerakan #ujian saringan #PKP #Maeps
;