PKRC Dewan Al Farabi bantu kurangkan penggunaan katil di HSB
Abdul Hadi Che Awang
Jun 7, 2021 17:06 MYT
Jun 7, 2021 17:06 MYT
ALOR SETAR: Pembukaan secara rasmi Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) Dewan Al Farabi, Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri Kedah, di sini yang akan memulakan operasi esok akan menjadi satu platform dalam mengurangkan penggunaan katil di wad Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah, Dr Mohd Fikri Ujang menyatakan PKRC berkenaan akan menempatkan sekitar 40 pesakit COVID-19 yang berada pada kategori tiga dan empat yang kebanyakannya melibatkan golongan warga emas.
Tambahnya, pembukaan PKRC itu akan sedikit sebanyak memberi keselesaan kepada pesakit dari golongan warga emas yang ketika ini ditempatkan di dua PKRC lain iaitu di Sungai Petani dan Kulim.
"Kita memerlukan Dewan Al Farabi ini yang ada kemudahan oksigen. Selain oksigen kita ada kemudahan makmal untuk nak file-off, kita ada kemudahan x-ray bergerak dan kita juga ada kemudahan rawatan pakar di sini.
"Pakar kita akan membuat rawatan di sini setiap hari ia bukan sahaja dikendalikan oleh bahagian perubatan tetapi juga pakar-pakar yang kita bawa dari Hospital Sultanah Bahiyah," katanya ketika sidang media selepas melakukan tinjauan di PKRC Dewan Al Farabi hari ini.
Dalam pada itu, beliau menyatakan bahawa kapasiti di dua PKRC lain di Kedah iaitu Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) Sungai Petani dan ILKKM Kulim mencatatkan penggunaan 320 katil berbanding kapasiti keseluruhan 500 katil ataupun sekitar 60 peratus.
Susulan itu, satu lagi PKRC dijangkakan akan dibuka di Dewan Wawasan Jitra yang ketika ini sedang melalui proses baik pulih yang dijangka selesai dalam tempoh dua bulan dari sekarang.