PKR umum Reformasi 2.0
Astro Awani
Mac 8, 2014 08:00 MYT
Mac 8, 2014 08:00 MYT
Parti Keadilan Rakyat (PKR) malam tadi mengumumkan bermulanya gerakan protes yang diberi nama Reformasi 2.0 untuk menyatakan bantahan terhadap sabitan tuduhan meliwat dan hukuman penjara ke atas pemimpinnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Timbalan Presiden PKR, Mohd Azmin Ali membuat pengumuman itu dalam satu rapat umum di Kajang beberapa jam selepas Mahkamah Rayuan menolak keputusan Mahkamah Tinggi pada 9 Januari tahun lalu yang membebaskan Anwar daripada tuduhan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.
Menurut Azmin, Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat akan memutuskan bentuk protes berkenaan termasuk kemungkinan untuk "turun ke jalan raya".
Katanya, walaupun Pakatan Rakyat meraih 52 peratus undi popular dalam pilihan raya umum yang lalu, Barisan Nasional masih lagi berkuasa dan beliau membayangkan kerajaan boleh dijatuhkan dengan protes jalanan.
"Adakah kita hanya hendak bertanding dalam pilihan raya atau kita akan turun ke jalan raya? " tanya Azmin kepada hadirin seperti dipetik oleh Malaysiakini.
"Jika kita umumkan esok jam 9 malam di Dataran Merdeka, adakah anda bersedia? Jika kita umumkan esok jam 3 petang di Jalan Tuanku Abdul Rahman, adakah anda bersedia?"
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Khalid Abu Bakar dalam kenyataan sebelum itu memberi amaran polis akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang terlibat dalam perhimpunan haram susulan keputusan Mahkamah Rayuan itu.
Katanya, polis tidak akan membenarkan sebarang bantahan melalui perhimpunan haram di jalan raya kerana sabitan ke atas Anwar itu "adalah proses perundangan dan apa juga tindakan bantahan perlu dibuat di mahkamah"
Sementara itu, Anwar yang berucap selepas itu mengulangi gesaan sama kepada penyokongnya untuk menggerakkan bantahan terhadap hukuman yang dijatuhkan ke atas.
"Ini permulaan gelombang baru reformasi. Ini gelombang kedua dan kali ini gelombang terakhir yang tidak akan tahu hentinya sehingga, Insya-Allah, kita tawan Putrajaya," katanya.
Anwar juga menggesa penyokong Pakatan Rakyat supaya bersama-sama mempertahankan beberapa pemimpin pakatan itu yang juga berdepan dengan pelbagai tuduhan di mahkamah.
"Kita harus bersama pertahankan Anwar, pertahankan (Pengerusi DAP) Karpal (Singh) dan pertahankan ramai barisan pimpinan kita," katanya dalam ucapan sebelum merasmikan Bilik Gerakan Utama PKR di Kampung Sungai Sekamat itu.
Karpal baru-baru ini didapati bersalah oleh mahkamah atas tuduhan mengeluarkan perkataan berbaur hasutan terhadap Sultan Perak berhubung pengguguran Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak pada 2009. Mahkamah akan menjatuhkan hukuman ke atasnya pada 11 Mac ini.
Anwar bersama pemimpin dan penyokong Pakatan Rakyat mendakwa keputusan Mahkamah Rayuan pada Jumaat melibatkan campur tangan politik bertujuan untuk menyekat beliau daripada bertanding dalam pilihan raya kecil DUN Kajang.
Sabitan dan hukuman penjara lima tahun yang dijatuhkan oleh Mahkamah Rayuan itu menyebabkan Anwar secara automatik hilang kelayakan untuk bertanding seperti yang diperuntukkan dalam undang-undang tubuh kerajaan negeri Selangor.
Pada sidang media selepas itu, Anwar memberitahu PKR ada senarai pendek 12 nama yang sedang dipertimbangkan untuk jadi calon menggantikan beliau.
"Kita akan putuskan selewat-lewatnya mungkin esok (Sabtu) atau paling lambat hari Isnin untuk menamakan calon yang akan mewakili semangat yang sama," kata bekas calon PKR bagi pilihan raya kecil DUN Kajang itu.
Dalam pada itu, hampir 2,000 penyokong Pakatan Rakyat berhimpun di Stadium Kajang dalam rapat umum solidariti yang berlangsung serentak dengan majlis pelancaran bilik gerakan pilihan raya itu selepas ada kekeliruan tentang lokasi ceramah yang akan dihadiri oleh Anwar.
Rapat umum di Stadium Kajang itu disertai oleh beberapa pemimpin Pakatan Rakyat termasuk Nurul Izzah Anwar, Tian Chua dan Mohamad Sabu.
#Anwar Ibrahim
#Azmin Ali
#Barisan Nasional
#DUN Kajang
#mahkamah
#Pakatan Rakyat
#reformasi
#Selangor