PKR: Tindakan Jeremmy satu pengkhianatan

Astro Awani
November 4, 2013 20:25 MYT
Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyifatkan tindakan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Jeremmy Malajad keluar parti sebagai satu pengkhianatan besar kepada rakyat Sabah dan Malaysia.
Naib Presidennya, Tian Chua menegaskan pihaknya mengecam sekeras-kerasnya tindakan Jeremmy yang disifatkan tidak beretika itu.
Tian Chua juga berkata, PKR akan menghantar surat tunjuk sebab kepada ADUN Matunggong, Jelani Hamdan, yang dipercayai turut merancang untuk mengkhianati amanah yang diberi rakyat Sabah.
"Kenyataan bahawa mereka berdua telah hilang kepercayaan terhadap pucuk pimpinan parti hanyalah satu helah dan alasan biasa bagi mengiakan langkah-langkah pengkhianatan mereka ini.
"Tindakan ADUN lompat parti sebegini adalah modus operandi biasa Barisan Nasional di Sabah untuk cuba melemahkan semangat perjuangan rakyat yang menginginkan perubahan," katanya dalam satu kenyataan media yang diedarkan hari ini.
Tian Chua juga menegaskan PKR menggesa rakyat Sabah untuk bersatu dan tidak membiarkan taktik BN ini memecah-belahkan semangat perjuangan dan reformasi, demi Sabah yang lebih baik.
#Jeremmy Malajad #keluar parti #Parti Keadilan Rakyat #Tian Chua
;