PKR sokong SPRM diberi kuasa pendakwaan

Irwan Muhammad Zain
Ogos 21, 2013 16:19 MYT
Dalam usaha mencegah rasuah di negara ini, Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyokong Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diberi kuasa pendakwaan.
Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar berkata SPRM perlu diberi kuasa membuat pendakwaan kerana Peguam negara yang diberi tanggungjawab menjalankan tugas tersebut terbukti gagal melaksanakan dengan adil.
Katanya, sudah banyak kes sebelum ini yang sudah disiasat oleh SPRM tetapi hingga kini tidak dibuat pendakwan dan butiran siasatan sangat kabur serta tidak diketahui umum.
"Sebelum ini kita tidak tahu berapa kes yang sedang disiasat, berapa kes yang dibawa ke mahkamah, namun dengan adanya kuasa penuh pendakwaan SPRM ini kita yakin pihak mereka dapat menjalankan tugas lebih efektif dalam mencegah rasuah," kata Ahli Parlimen Lembah Pantai itu kepada wartawan selepas pertemuan tertutup pemimpin PKR dan SPRM di Bangunan Akademi Pencegahan Rasuah disini, hari ini.
Nurul Izzah berkata, dalam pertemuan selama dua jam itu juga, turut dibincangkan adalah cadangan SPRM untuk meminda Seksyen 23, Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia agar setiap menteri dan ahli keluarga mereka yang mendapat habuan atau projek kerajaan boleh diambil tindakan
"Kita bersedia bekerjasama dengan SPRM, kita menyambut baik usaha SPRM pada masa sama kita memantau dan tidak takut mendedahkan penyelewangan kepada SPRM, kerana skop rasuah SPRM dinegara ini berbeza dengan negara luar.
"Ada beberapa isu yang turut dibincangkan dalam pertemuan tersebut yang tidak dapat di beritahu sekarang namun kita akan berusaha untuk memperjuangkan isu ini," kata beliau.
Menurut Nurul Izzah, SPRM memberikan reaksi positif dan mahu politik wang dihentikan di pihak Barisan Nasional (BN) mahupun Pakatan Rakyat (PR).
"Kita anjurkan tindakan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri, Kastam, Suruhanjaya Pilihan Raya dan memandangkan pemilihan parti akan berlansung tidak lagi berharap pihak SPRM dapat mengekang politik wang," katanya.
#Nurul Izzah Anwar #PKR #Rasuah #SPRM
;