PKR Selangor akan pastikan Anwar ditempatkan di kedudukan 'sesuai'
Haider Yutim
Februari 16, 2014 08:28 MYT
Februari 16, 2014 08:28 MYT
Setiausaha PKR Selangor, Amirudin Shari berkata PKR akan memastikan Datuk Seri Anwar Ibrahim ditempatkan di 'kedudukan yang sesuai' sebagai pemimpin besar di negeri itu jika beliau menang di pilihan raya kecil Kajang nanti.
"Selepas menang di Kajang, selain tingkatkan usaha merampas Putrajaya.. salah satunya ialah berikan peranan yang sesuai dengan Anwar selaku Ketua Umum PKR dan pemimpin besar di Selangor," katanya pada sidang selepas pelancaran Manifesto 7 Gagasan 'AMK Baru' pada Sabtu.
Bagaimanapun katanya tentang kedudukan Anwar, ia masih dibincangkan oleh biro majlis pimpinan pusat (MPP) dan juga biro politik serta masih belum ditentukan secara muktamad.
"Tapi saya yakin hasil tinjauan dan logik pemimpin parti, mereka akan tempatkan Anwar ke kedudukan yang lebih baik," kata Amirudin.
Amirudin yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Caves dan calon ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) mengulas tentang dakwaan Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim enggan memberi laluan kepada Anwar untuk mengambil alih jawatannya.
Kemelut jawatan Menteri Besar Selangor masih lagi menjadi tanda tanya sehingga hari ini dimana penyandangnya, Tan Sri Khalid Ibrahim dikatakan enggan melepaskan jawatan tersebut untuk memberi laluan kepada Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dalam laporan eksklusif akhbar The Star, sumber memberitahu akhbar tersebut bahawa Khalid yang dikatakan akan menandatangani surat perletakan jawatannya yang telah disediakan oleh pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR), telah mengelak untuk berbuat demikian.
Surat tersebut yang dipercayai bertarikh 23 Mac merupakan hasrat parti itu yang mahukan Ahli Parlimen Permatang Pauh itu memegang jawatan tersebut.
Tarikh itu dipilih kerana pengundi di Kajang akan mula membuang undi mereka pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Kajang dan ianya turut mengambil kira andaian bahawa Anwar akan memenangi PRK tersebut.
Andaian tersebut juga mengambil kira bahawa Anwar akan menyertai Majlis Mesyuarat Negeri sebelum diangkat sebagai Menteri Besar kemudiannya.
#AMK
#Amuridin Shari
#Anwar Ibrahim
#gagasan AMK Baru
#Kajang
#Khalid Ibrahim
#Manifesto
#PKR
#Putrajaya