PKR perkenal aplikasi ADIL bagi daftar pemilih dan PAT

Nickyson Nyambar
Mac 3, 2022 21:35 MYT
Aplikasi itu akan dilancarkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, esok.
KUALA LUMPUR : Aplikasi ADIL yang diperkenalkan PKR sejak 28 Februari lalu kini sudah boleh dimuat turun menerusi pautan Goole Play Store bagi pengguna Android.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti PKR, Dr Zaliha Mustafa, aplikasi itu telah menerima sebanyak 332 pendaftaran untuk tujuan kemaskini daftar pemilih dan persetujuan sebagai Pemilih Atas Talian (PAT).
"Jawatankuasa Pemilih Pusat, masih lagi menanti kelulusan dari Apple (Malaysia) untuk anggota memuat turun aplikasi ini dari Apple App Store bagi pengguna iPhone yang menggunakan operasi iOS.
"...Sebanyak 253 pendaftaran berstatus tidak berjaya kerana syarat-syarat verifikasi tidak ditepati.
"Bagi pendaftaran yang tidak berjaya, mereka ini akan dihubungi dan dibantu mengemas kini maklumat," katanya menerusi kenyataan pada Khamis.
Jelas Dr Zaliha lagi, apikasi ADIL ini juga memperketatkan sistem saringan JPP bagi memastikan sistem Pemilihan Parti secara atas talian tersebut mempraktikkan nilai integriti yang tinggi dan dipercayai pengguna.
"Saya menjangkakan dan berharap akan lebih ramai anggota parti khususnya dari sayap Angkatan Muda Keadilan (AMK), Srikandi dan mereka yang berusia 60 tahun ke bawah dapat mendaftarkan diri sebagai PAT selepas peluncuran rasmi oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang akan dilaksanakan pada Jumaat ini (4 Mac 2022)," ujarnya lagi.
Dalam pada itu, pihaknya turut menjangkakan permohonan pendaftaran bagi aplikasi berkenaan akan bertambah selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor diadakan pada 12 Mac depan.
Sehubungan itu, kata beliau, pihak jawatankuasa akan melakukan jelajah ke negeri dan cabang PKR untuk melaksanakan pelan kempen yang intensif dengan menyasarkan golongan muda, anggota yang ramai serta kawasan yang mempunyai capaian Internet memuaskan.
"Penyertaan anggota yang tinggi sebagai PAT pastinya akan mempercepatkan dan memudahkan proses pemilihan parti, mengurangkan kemungkinan risiko kekecohan bahkan juga ia menjamin keselamatan kesihatan di musim pandemik COVID-19 serta menjimatkan masa dan keseluruhan kos pemilihan," kata beliau lagi.
#Aplikasi ADIL #PKR #daftar pemilih #Pemilih Atas Talian PAT
;