PKR lantik Khalid sebagai Pengarah Jentera Pilihan Raya DUN Kajang

Astro Awani
Februari 4, 2014 07:53 MYT
Parti Keadilan Rakyat (PKR) melantik Menteri Besar Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai pengarah jentera pilihan raya parti itu bagi menghadapi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang.
Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, lantikan Abdul Khalid dibuat bagi melancarkan gerak kerja jentera parti itu.
Saifuddin turut mengumumkan pelantikan Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin sebagai timbalan pengarah jentera pilihan raya untuk membantu Abdul Khalid.
"Sementara Borhan Aman Shah yang merupakan Pengarah Jawatankuasa Pilihanraya Selangor dilantik sebagai Pengarah Operasi Pilihanraya.
"Insya-Allah dengan ini jentera pilihanraya PKR akan dapat bergerak dengan berkesan demi membawa kemenangan kepada parti," katanya dalam satu kenyataan media, pada Selasa.
Kerusi DUN Kajang kosong selepas Adun kawasan itu, Lee Chin Cheh dari PKR (PKR) meletak jawatan secara tiba-tiba pada 27 Januari lepas.
Pakatan pembangkang menamakan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon mereka jika pilihan raya kecil diadakan.
#Anwar Ibrahim #BN #DUN #Kajang #Khalid Ibrahim #pilihan raya kecil #PKR #PR
;