PKR gesa kerajaan gunakan Indeks Kemiskinan Multidimensi

Haider Yutim
April 15, 2014 13:28 MYT
Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar (kiri) dalam sidang media hari ini
Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini menggesa kerajaan agar menggunakan Indeks Kemiskinan Multidimensi (MPI) bagi menentukan Malaysia mencapai sasarannya sebagai negara berpendapatan tinggi.
Menurut Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar, indeks tersebut boleh digunakan untuk memberikan gambaran yang lebih jelas mengenai kehidupan golongan miskin serta perbandingan antara bandar dan luar bandar, etnik dan pelbagai lagi demografik masyarakat.
"Ukuran kemiskinan dengan menggunakan garis kemiskinan tidak lagi mencukupi untuk menerangkan dengan jelas tentang kemiskinan, malah ianya memberikan gambaran yang salah, terutamanya dalam keadaan kerajaan enggan menakrifkan kembali garisan kemiskinan itu," katanya dalam sidang media di ibu pejabat parti itu, pada Selasa.
Katanya, hutang isi rumah yang tinggi iaitu 140 peratus berbanding pendapatan, rakyat akan terus berhadapan dengan beban yang begitu besar.
"Untuk setiap RM1 yang diperolehi, seorang rakyat menanggung RM1.40 hutang. Hutang ini sebahagian besarnya datang daripada menanggung hutang perumahan dan kereta yang begitu tinggi di Malaysia," jelas Nurul Izzah.
Selain itu, beliau turut memetik kenyataan Profesor Fatimah Kari dari Pusat Kajian Kemiskinan dan Pembangunan UM yang berkata pemotongan subsidi berterusan oleh kerajaan akan memberi kesan teruk kepada kaum Melayu dan Bumiputera.
"Kadar kemiskinan ini dijangkakan akan kembali seperti pada tahun 1970 dalam tempoh terdekat atau sederhana sekiranya isu jurang pendapatan tidak dikawal menerusi polisi-polisi kerajaan," katanya.
Tambah Nurul Izzah lagi, kajian Profesor Fatimah juga turut menunjukkan bahawa pemotongan subsidi terbabit akan meningkatkan kadar kemiskinan kaum Cina dan India di bandar dan luar bandar, meskipun kesannya tidak begitu mendadak.
#kemiskinan #Multidimensi #Nurul Izzah #PKR
;