PKR gagal fahami kuasa Sultan dalam perlembagaan - Najib
Bernama
September 7, 2014 20:16 MYT
September 7, 2014 20:16 MYT
Datuk Seri Najib Abdul Razak berkata PKR gagal memahami Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor apabila mempertikai kuasa Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam soal pelantikan Menteri Besar.
Perdana Menteri berkata, parti itu juga sanggup bersekongkol dengan DAP semata-mata untuk memastikan cita-cita untuk melantik Presidennya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Menteri Besar Selangor tercapai.
"Tengok gelagat PKR di Selangor macam mana, mereka tidak faham perlembagaan tentang kedudukan raja-raja.
"Yang tersurat itu satu, yang tersiratpun mereka tak faham, tetapi saya faham. Sebab itu mereka bersekongkol dengan DAP, macam beri kata dua kepada raja," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ucapan penggulungan perbahasan persidangan perwakilan Umno Bahagian Pekan di Dewan Konvensyen di sini hari ini.
Sehubungan itu, Najib berkata anggota Umno perlu menerangkan kepada anak-anak mereka tentang keadaan yang akan berlaku, jika Umno khasnya dan Barisan Nasional amnya tidak lagi memegang kuasa.
"Tengok keadaan sekarang, apabila kita tiada kuasa, apa akan jadi kepada insitusi raja-raja, agama Islam apa akan jadi, kedudukan orang Melayu apa akan jadi dan ini semua mesti terang kepada anak-anak kita.
"Jangan sesekali ada anak-anak Umno yang tidak menjadi menyertai parti, saya pantang sekali kalau dengar orang macam Dyana, mak ayah orang Umno tetapi anak masuk DAP, sehubungan itu kita perlu 'Umnokan' anak-anak kita," katanya.
Dyana Sofya Mohd Daud adalah calon DAP bagi pilihan raya kecil Parlimen Teluk Intan yang diadakan pada 31 Mei lalu.
Menurutnya, jika perkara itu tidak dilakukan, kecemerlangan perjuangan Umno selama ini dalam soal membela nasib orang Melayu serta agama Islam serta mempertahankan insitusi diraja tidak akan terjamin kelangsungannya.
Beliau turut menegur segelintir kakitangan kerajaan yang mempunyai anak-anak yang tidak menyukai kerajaan, namun dalam masa sama mengharapkan pelbagai bantuan diberikan kepada mereka.
Najib berkata dalam masa yang sama, Umno perlu mengamalkan corak politik baharu untuk memastikan parti itu dilihat sebagai parti yang sentiasa berubah mengikut peredaran masa dan dinamik.
"Dunia hari ini menuntut kita mengamalkan politik baharu, kalau kita dengan cara politik lama dan tidak faham apa itu politik baharu, maka bagaimana kita hendak menjaga orang muda.
"Kita juga mesti faham apa wahana atau media yang mereka gunakan untuk sumber maklumat.. bukan lagi daripada akhbar dan televisyen, tetapi daripada media sosial, menerusi telefon pintar.
"Itu medium untuk orang muda dan dalam medium ini kita mesti tentukan Umno ada peranan," katanya.
Melalui cara itu, katanya, imej parti akan dilihat lebih segar dan menerima unsur-unsur teknologi baharu serta menjadi parti bagi masa depan dan bukan parti untuk masa lalu.