PKR dedah bukti dakwaan penyelewengan PRU13

Hasbullah Awang Chik
Mei 20, 2013 06:01 MYT
Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan mendedahkan dakwaannya mengenai penyelewengan proses pengundian pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) secara berperingkat.
Pengarah Strategiknya, Rafizi Ramli mendakwa mempunyai bukti-bukti yang kukuh mengesahkan bahawa PRU-13 dicemari dengan penipuan dan penyelewengan terancang yang dikatakan berleluasa di seluruh negara.
"Setiap minggu, #siasatpru13 akan mengadakan dua atau tiga kali sidang media untuk membawa bukti ini kepada rakyat.
"Selain dari bukti-bukti yang ditunjukkan, #siasatpru13 akan membawa individu yang berkenaan untuk tampil memberi keterangan," jelas Rafizi melalui satu sidang media di Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya, Selangor.
Rafizi hari ini turut mengemukakan 8 laporan polis yang diterima daripada individu yang mendakwa dihalang mengundi di kawasan Parlimen Rembau, Sungai Petani, Kuala Selangor, Serdang dan Kemaman.
Mereka bagaimanapun tidak hadir di sidang media itu.
Rafizi juga berkata dakwaan penyelewengan yang paling berleluasa adalah kehadiran pengundi hantu yang berpunca daripada daftar pengundi yang tidak bersih.
"Perkara ini membayangkan kelemahan dan mungkin keterlibatan dua badan yang bertanggungjawab, iaitu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
"Ini bermakna wujud kad-kad pengenalan palsu yang dikeluarkan oleh JPN. Kehadiran pengundi hantu membawa impak besar meruntuhkan keyakinan rakyat terhadap integriti keputusan PRU-13," dakwa Rafizi yang juga merupakan Ahli Parlimen Pandan.
Tindakan susulan yang akan diambil oleh PKR ialah bagi mendapatkan persetujuan pengundi yang terbabit untuk membuat akuan bersumpah supaya dapat mengukuhkan bukti sedia ada.
Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof sebelum ini memberitahu pihaknya tidak menerima sebarang laporan berhubung pengundi yang cuba mengundi menggunakan Mykad orang lain.
SPR turut meminta pihak yang mempertikaikan proses pengundian pada PRU13 agar mengemukakan bantahan mengikut saluran yang betul.
Pada PRU-13 yang lalu, Barisan Nasional (BN) memenangi 133 daripada 222 kerusi parlimen yang dipertandingkan. Manakala DAP dengan 38 buah kerusi, PKR dan Pas masing-masing dengan 30 dan 21 buah kerusi.
##siasatpru13 #5 mei #pengundi hantu #PKR #PRU-13 #Rafizi Ramli #Rembau #Sungai Petani