PKR bincang isu Zakir Naik Rabu ini - Anwar

Bernama
Ogos 18, 2019 20:36 MYT
Biro Politik PKR, kata Anwar Ibrahim, akan menyatakan pendirian parti itu mengenai isu Zakir, Naik, tulisan Jawi dan Dong Zong. - Gambar fail
Biro Politik PKR akan mengadakan mesyuarat Rabu ini bagi membincangkan tiga isu iaitu berkaitan Dr Zakir Naik, tulisan Jawi dan Gabungan Jawatankuasa Sekolah-Sekolah Cina (Dong Zong).
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perbincangan itu akan dibuat bagi menyatakan pendirian PKR terhadap isu yang dilihat menjadi kontroversi baru-baru ini.
"Saya ada pandangan saya sendiri, tetapi saya merasakan saya perlu mendengar pandangan pemimpin Keadilan yang lain kerana saya baru balik dari menunaikan ibadah Haji (di Mekah), jadi saya tidak mengikuti (isu itu) semuanya.
"... dan saya merasakan pimpinan ada hujah mereka masing-masing kerana mereka mengikuti isu itu lebih dekat (kerana berada di Malaysia)," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutup Konvensyen Motivator Profesional Malaysia.
Anwar yang juga Ketua Umum Pakatan Harapan (PH) berkata, pihaknya akan memutuskan pendirian sama ada PKR menerima tiga isu tersebut atau sebaliknya selepas mendengar pandangan daripada barisan kepimpinan parti itu.
Tiga isu itu menjadi perdebatan rakyat selain beberapa pemimpin PH, berikutan isu tersebut didakwa menyentuh sensitiviti agama dan kaum.
Anwar ditanya juga sama ada akan mengadakan pertemuan dengan penceramah bebas Zakir Naik, beliau berkata, perkara itu tidak perlu.
"Saya akan membaca penjelasan beliau (Zakir Naik) selain merujuk perkara itu kepada Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum mesyuarat Rabu ini," katanya. - BERNAMA
BACA:
#Anwar Ibrahim #Dong Zong #Ketua Umum #pendakwah #PKR #PKR bincang isu Zakir Naik #Zakir Naik
;