PKR bincang gerak kerja PRK PD hari ini - Azmin

Bernama
September 20, 2018 05:36 MYT
Parlimen P.132 Port Dickson mempunyai lima DUN, DUN N.29 Chuah, N.30 Lukut, N.31 Bagan Pinang, N.32 Linggi dan N.33 Sri Tanjung, dengan 75,770 pemilih berdaftar yang layak mengundi. --fotoBERNAMA
PKR akan mengadakan perbincangan terperinci mengenai gerak kerja Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson di Kuala Lumpur hari ini, kata Timbalan Presidennya Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Beliau berkata perbincangan itu adalah bagi memastikan jentera pilihan raya berjalan dengan lancar sekali gus berjaya memenangkan Datuk Seri Anwar Ibrahim di kerusi itu.
"Perkara yang penting ketika ini adalah untuk meyakinkan pengundi mengenai peralihan kuasa yang bakal berlaku iaitu Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan kembali ke Parlimen untuk memainkan peranannya.
"Saya yakin semua pihak akan terima peralihan kuasa ini namun kita akan terus memberi penjelasan kepada pengundi supaya mereka lebih memahami mengapa perlu diadakan PRK ini," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Bersama PKR Negeri Sembilan di Dewan Bandaran Tampin di sini, malam tadi.
Mengulas lanjut Mohamed Azmin berkata, penjelasan itu termasuk mengenai dakwaan segelintir pihak yang mengatakan PRK Port Dickson sebagai pembaziran sedangkan ia adalah proses peralihan kuasa yang diadakan secara tertib.
Pada 12 Sept lalu, kerusi itu dikosongkan oleh penyandangnya, Datuk Danyal Balagopal Abdullah, 68, yang meletak jawatan selaku wakil rakyat Parlimen terbabit untuk membolehkan Anwar kembali ke Dewan Rakyat.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) 9 Mei lepas, Danyal memenangi kerusi itu dengan majoriti 17,710 undi mengalahkan calon Barisan Nasional (BN), Datuk V. S. Mogan dan calon PAS, Mahfuz Roslan.
Sementara itu katanya, anggota PKR perlu menolak calon yang cuba merosakkan imej parti sendiri dalam pemilihan PKR yang diadakan secara berperingkat mulai Sabtu ini.
"Pastikan pemilihan kali ini seharusnya dapat mengangkat calon yang pernah bersusah payah demi parti, yang taat setia dan apabila diberikan tugas dapat dilaksanakan dengan baik," katanya.
-- BERNAMA
#Anwar Ibrahim #imej parti #Ketua Umum PKR #menang #Mohamed Azmin Ali #Parlimen #pembaziran #pemilihan parti #pengundi #penjelasan #peralihan kuasa #perbincangan #pilihan raya kecil #PKR #PRK Port Dickson
;