PKR akan lumpuh sekiranya Azmin Ali tinggalkan parti itu

T K Letchumy Tamboo
Mei 9, 2013 07:00 MYT
Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan lumpuh , sekiranya timbalan presiden Azmin Ali meninggalkan parti itu dan tidak dilantik sebagai Menteri Besar Selangor yang baru.
Demikian pendapat penganalisa politik yang mengulas mengenai perebutan untuk menjadi Menteri Besar Selangor antara mantan Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Azmin, yang diuar-uarkan telah berhasrat untuk memegang jawatan itu bertahun-tahun lamanya.
Penganalisis dari Universiti Utara Malaysia, Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata akan terjejas dengan teruk sekiranya Azmin meninggalkan parti itu.
“Impak sekiranya Azmin meninggalkan parti itu adalah sangat besar sehinggakan melumpuhkan parti itu kerana Azman mempunyai pengaruh yang kuat dalam parti itu.
“Kalau beliau tinggalkan parti itu semata-mata kerana tidak dilantik sebagai Menteri Besar Selangor yang baru, maka beliau bukanlah pejuang PKR yang sebenar kerana tindakan itu adalah tindakan mementingkan diri sendiri,” katanya kepada Astro Awani.
Mohd Azizuddin berkata Abdul Khalid adalah calon Menteri Besar yang lebih baik.
“Abdul Khalid mempunyai sokongan kuat dalam PR terutamanya dari PAS dan DAP. Sepanjang tempoh perkhidmatan beliau sebagai Menteri Besar Selangor, beliau menjaga ekonomi negeri itu juga.
"Beliau juga mendapat sokongan besar-besaran dari rakyat Selangor. Beliau harus meneruskan perkhidmatan beliau di sana, "katanya.
Menyetujui pendapat tersebut, penganalisis politik Dr. Ahmad Atory Hussein juga berkata PKR dan mungkin juga Pakatan Rakyat (PR) akan hancur sekiranya Azmin meninggalkan partinya.
“Impaknya adalah sangat besar sekiranya Azmin meninggalkan parti itu kerana beliau merupakan salah seorang pengasas parti. Kalau beliau tinggalkan parti itu, parti itu akan menjadi lemah.
"Walau bagaimanapun, kerana parti itu mempunyai ramai pemimpin berpotensi yang lain, dia boleh digantikan dengan cepat. Siapa tahu, parti itu juga boleh memilih Abdul Khalid untuk menggantikan Azmin sebagai timbalan presiden, "katanya.
Semalam, Sinar Harian telah melaporkan bahawa Azmin menafikan khabar angin yang beliau akan meninggalkan parti itu sekiranya Abdul Khalid dilantik sebagai Menteri Besar yang baru.
“Saya tidak akan meninggalkan perjuangan murni ini dan sesekali tidak akan mengkhianati amanah rakyat yang mahukan perubahan.
“PKR sebati dengan roh dan prinsip perjuangan saya,” katanya kepada suratkhabar itu.
Dalam suatu sidang media pada hari ini, Azmin berkata Menteri Besar Selangor yang baru tidak seharusnya membiarkan dirinya mengikut telunjuk orang lain.
Azmin telah menghasilkan kontroversi baru-baru ini selepas mengkritik PR kerana menganjurkan perhimpunan haram di Stadium Kelana Jaya semalam.
Azmin, dalam akaun twitternya berkata, “Rakyat letih dengan asakan politik melampau. Terima hukuman, muhasabah diri, akui kelemahan, maju ke hadapan, tumpu rakyat bukan kerabat.”
Beliau tidak menghadiri himpunan yang menyaksikan beratus-ratus ribu orang yang tidak berpuas hati dengan keputusan pilihan raya umum yang memihak kepada Barisan Nasional.
Hari ini, Azmin bakal mengadakan suatu sidang media untuk mendedahkan tentang apa yang berlaku semasa pilihan raya kecil Permatang Pauh pada tahun 2008.
#Azmin Ali #Menteri Besar Selangor #Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim
;