PKPP: Upacara perkahwinan penganut bukan Islam di rumah ibadat kini dibenarkan - Ismail Sabri

Fauzi Suhaimi
Jun 21, 2020 08:12 MYT
Ismail Sabri: Upacara perkahwinan ini tidak boleh melebihi 20 orang (termasuk Penolong Pendaftar Perkahwinan) dan tertakluk kepada kapasiti rumah ibadat atau Persatuan Agama Bukan Islam dan penjarakan sosial. - Gambar fail
Kerajaan bersetuju untuk membenarkan upacara perkahwinan bagi penganut bukan Islam di rumah ibadat dilaksanakan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu dibuat menerusi mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Katanya, kebenaran itu adalah bagi upacara perkahwinan bukan Islam di rumah ibadat dan Persatuan Agama Bukan Islam melibatkan Penolong Pendaftar Perkahwinan yang dilantik dibawah Seksyen 28, Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Penceraian) (Akta 164).
"Upacara perkahwinan ini tidak boleh melebihi 20 orang (termasuk Penolong Pendaftar Perkahwinan) dan tertakluk kepada kapasiti rumah ibadat atau Persatuan Agama Bukan Islam dan penjarakan sosial.
"Upacara perkahwinan perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
"Bagaimanapun majlis resepsi perkahwinan masih tidak dibenarkan untuk diadakan," katanya dalam kenyataan di sini pada Ahad.
Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri menambah, seramai 528 rakyat Malaysia telah pulang ke tanah air melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari beberapa buah negera.
"Daripada jumlah itu, seramai 526 individu telah diperintah untuk menjalani proses kuarantin wajib di kediaman masing-masing manakala dua individu dibawa ke hospital untuk rawatan jangkitan COVID-19," jelasnya lagi.
#Hospital #Islam #ismail sabri yaakob #Kementerian Kesihatan #keselamatan #kesihatan #KKM #KLIA #koronavirus #operasi #penjarakan sosial #perintah kawalan pergerakan #Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan #perkahwinan #PKP #PKPP #rakyat #rakyat Malaysia #SOP