PKPP: Tasik Kenyir dapat sambutan menggalakkan pelancong

Nur Fazlizai Ali
Jun 22, 2020 10:30 MYT
Selepas dibuka semula pada 12 Jun lepas ekoran pelaksanaan PKPP, Tasik Kenyir mendapat sambutan menggalakkan daripada pelancong. - Foto Astro AWANI
Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) menjangkakan kunjungan pelancong ke Tasik Kenyir akan terus meningkat selepas hampir tiga bulan ditutup susulan penularan COVID-19 pada Mac lalu.
Pengerusinya Datuk Razali Idris berkata, sejak kembali beroperasi lebih seminggu lalu ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), Tasik Kenyir mendapat sambutan menggalakkan daripada pelancong.
Katanya, hampir 20 peratus pengunjung ke negeri itu telah berkunjung ke tasik buatan manusia yang terbesar di Asia Tenggara itu.
"Menurut pengerusi persatuan pelancong, jumlah pelancong naik dengan cepat. Sejak dibuka semula 12 Jun lalu, 20 peratus pelancong telah datang ke sini.
"Maksudnya, kalau kita sediakan produk-produk yang baik, buat promosi dengan baik, angka itu akan bertambah. Saya jangkakan ia akan naik 50 peratus untuk tahun ini saja," katanya pada Ahad.
Razali berkata, pihak Persatuan Pelancongan Tasik Kenyir dan pengusaha perlu mengadakan pelbagai aktiviti bagi menarik perhatian orang ramai untuk terus berkunjung ke tasik itu.
Beliau turut menyeru pihak persatuan supaya mengadakan bengkel bagi membantu ahlinya merancakkan kembali perniagaan masing-masing.
"Berbaki lagi beberapa bulan tahun 2020 ini, kita kena fikirkan apa produk dari Tasik Kenyir ini yang boleh diketengahkan bagi melonjak kedatangan pelancong," tambahnya.
Tambahnya, buat masa ini, pelancong akan menikmati diskaun sebanyak 20 peratus bagi semua pakej di Tasik Kenyir.
"Contohnya, pakej rumah bot untuk dua hari satu malam hanya RM1,800 berbanding sebelum ini yang berharga RM2,000," katanya.
Dalam pada itu, Razali turut mengingatkan pengusaha pelancongan supaya sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang bersesuaian dengan normal baharu.
Terdahulu pada satu majlis di sini, Razali berkata, Ketengah memperuntukkan RM152,700 untuk membantu pengusaha pelancongan di Tasik Kenyir yang terjejas ekoran penularan COVID-19.
Sumbangan tersebut diberikan kepada 86 pengusaha rumah bot serta bot laju dan pengusaha kedai di pusat pelancongan tersebut.
Sebanyak 33 pengusaha bot menerima sumbangan RM500 seorang sementara 20 pengusaha bot laju dan lapan pengusaha kedai masing-masing menerima RM400 seorang.
Selain itu, 25 pengusaha rumah bot yang mengalami kerosakan diberi sumbangan RM5,000 seorang.
#bot #Ketengah #operasi #pelancong #pelancongan #Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan #PKPP #Razali Idris #SOP #sumbangan #Tasik Kenyir #terengganu
;