PKPP: Sempadan negara perlu terus diperketatkan
Hasimi Muhamad
Jun 14, 2020 19:04 MYT
Jun 14, 2020 19:04 MYT
Kementerian Kesihatan (KKM) sekali lagi mengulangi pendirian bahawa sempadan negara perlu diperketatkan bagi memastikan Malaysia mampu mengawal penularan COVID-19.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdulllah berkata, pihaknya sentiasa memantau rapat perkembangan COVID-19 di peringkat global dan negara-negara yang menunjukkan peningkatan kes.
Justeru, tindakan kerajaan bermula dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) merupakan langkah tepat dalam mengekang jangkitan virus tersebut.
"Apa yang penting untuk Malaysia adalah kita perketatkan sempadan negara dari masa ke masa.
"Walaupun Malaysia ketika ini dalam fasa PKP Pemulihan, tetapi kami masih memperketatkan kawalan sempadan.
"Jadi, jika kita lakukan perkara itu, kita boleh pastikan rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara, kita akan kuarantin, asingkan dan lakukan ujian saringan kepada mereka. Untuk memastikan tiada jangkitan dari luar masuk ke Malaysia, jadi itu yang telah kita lakukan setakat ini," katanya dalam sidang media harian, di sini pada Ahad.
Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, dua pendekatan berbeza telah diambil oleh Malaysia dalam menangani virus tersebut.
"Terdapat dua perkara berbeza yang kita lakukan berbanding negara lain.
"Pertama, kita kenal pasti mereka yang positif, sama ada mereka tiada gejala atau bergejala, kita akan asing dan rawat mereka di hospital.
"Kedua, rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara akan dikuarantin," katanya.