PKPP: Normal baharu solat berjemaah di masjid diterima baik

Hilmi Malik
Jun 12, 2020 19:51 MYT
Jemaah yang hadir solat Jumaat di Masjid Tengku Ampuan Jemaah Bukit Jelutong mengikuti SOP yang ditetapkan termasuk jarak mengikut garis panduan
Bermula hari ini umat Islam mula menarik nafas lega apabila kebenaran untuk melaksanakan ibadah solat Jumaat serta solat berjemaah telah mula dilonggarkan setelah lebih tiga bulan menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Bagaimanapun, pelaksanaannya masih tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang telah pun ditetapkan mengikut negeri masing-masing.
Tinjauan Astro AWANI di Masjid Tengku Ampuan Jemaah Bukit Jelutong, di sini pada pertama hari ibadah solat Jumaat sejak Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan mendapati segala persiapan berkaitan SOP telah pun dilaksanakan.
Menurut Timbalan Pengerusi Lembaga Tadbir Masjid Tengku Ampuan Jemaah Bukit Jelutong, Mohamad Salim Sain, pihaknya bersyukur pembukaan masjid telah mula dibenarkan setelah sekian lama ia tidak dihadiri para jemaah.
“Kita amat bersyukur dan juga berterima kasih khususnya kepada Duli Yang Maha Mulia, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah kerana telah memberi kebenaran untuk solat berjemaah di 39 buah masjid di Selangor.
“Tidak kurang juga penghargaan bagi pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Jabatan Mufti dan beberapa pihak lain yang telah mengeluarkan garis panduan (SOP) untuk menunaikan solat secara berjemaah di masjid.
“Kita memohon agar para jemaah bersabar mungkin tidak semua yang dapat hadir ke masjid ekoran kadar kemasukan yang terhad namun apa yang kita harapkan agar wabak ini berjaya dihapuskan agar dapat kembali menjalani kehidupan seperti biasa,” katanya ketika ditemui di sini pada Jumaat.
Hasil tinjauan mendapati pengunjung yang keluar masuk masjid dikawal ketat oleh pihak berkuasa dan pintu masjid untuk menunaikan solat Jumaat hanya mula dibuka pada jam 12.30 tengah hari mengikut senarai nama yang telah diserahkan kepada pihak masjid serta proses saringan suhu dan sanitasi.
Ruangan di dewan solat turut disediakan tanda di ruangan saf bagi memastikan panduan jarak dipatuhi mengikut garis panduan yang ditetapkan dan jemaah turut diminta untuk membawa sendiri sejadah bagi tujuan beribadah.
Difahamkan juga, pintu pagar masjid akan mula ditutup dan tidak menerima sebarang kemasukan termasuk ahli kariah masjid, atau mereka yang mempunyai jemputan khas sebaik sahaja selesai azan pertama berkumandang.
Selesai solat Jumaat dengan bacaan khutbah ringkas, jemaah diminta segera beredar dan tiada sebarang aktiviti bersalam-salaman dan mereka terus beredar menerusi satu pintu dan laluan yang telah ditetapkan.
Situasi ini mungkin berlainan berbanding sebelum ini dimana tiada sebarang kekangan mahupun halangan bagi orang ramai untuk berkunjung ke masjid namun ini merupakan realiti yang perlu diterima oleh masyarakat dalam normal baharu mengerjakan ibadah di masjid dalam usaha membantu negara memutuskan rantaian COVID-19.
#COVID19 #JAIS #normal baharu #PKPP #solat jemaah #Solat Jumaat #SOP #Sultan Selangor
;