PKPP: LTAS sedia terima lebih ramai pelancong domestik

Astro Awani
Jun 22, 2020 13:56 MYT
LTAS meminta semua penumpang hadir tiga jam lebih awal biarpun untuk penerbangan domestik. - Astro AWANI
Susulan aktiviti pelancongan domestik dibenarkan beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) mulai 12 Jun lalu, Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS) kini bersedia sepenuhnya untuk menerima lebih ramai pelancong.
Pada masa sama, pihak pengurusan lapangan terbang giat menerapkan norma baharu dalam melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) PKPP di LTAS selaras dengan arahan dan garis panduan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Airport Terminal Services Sdn Bhd Kennedy Ayu berkata selain melekatkan pita penjarakan sosial, pihaknya turut menyediakan cecair sanitasi tangan di setiap pintu dan premis kedai dalam lapangan terbang.
Pihaknya juga memaparkan notis peringatan berkaitan SOP secara elektronik di sudut ruangan menunggu.
Bagi memudahkan perjalanan penerbangan, LTAS meminta semua pelanggan hadir tiga jam lebih awal biarpun untuk penerbangan domestik.
Malah, pendaftaran masuk penerbangan menggunakan mesin layan diri juga disediakan sistem kod QR bagi mengurangkan sentuhan.
"Pada mulanya, memang betul, pengunjung berkurangan. Sekarang, tahap keyakinan sudah meningkat, unjuran juga kini meningkat baik.
"Kita juga buat promosi, contohnya, apabila orang datang ke sini, kita berikan parkir percuma selama dua jam pada tengah hari dan dua jam pada petang.
"Kedai juga menawarkan diskaun untuk kita bantu satu sama lain. Pengunjung tidak perlu risau, sebab semua SOP dipatuhi dan sistem sedia ada memudahkan pergerakan mereka semasa berada di lapangan terbang," kata Kennedy.
Ujarnya, selain premis LTAS, premis kedai juga diarahkan mematuhi arahan SOP.
Katanya, kerja sanitasi oleh petugas pembersihan juga dilakukan sesuai dengan kekerapan pengunjung.
Malah, 34 polis bantuan LTAS juga ditempatkan bagi mengawal pematuhan SOP.
Dari sudut pematuhan SOP oleh pengunjung, Kennedy berkata, hampir semua pengunjung mematuhi SOP PKPP, menunjukkan kesedaran yang tinggi dalam kalangan mereka.
#garis panduan #jarak sosial #kedai #kesihatan #KKM #lapangan terbang #Lapangan Terbang Antarabangsa Senai #LTAS #norma baharu #pelancong #pelancong domestik #pelancongan #penerbangan #penjarakan sosial #sanitasi #SOP
;