PKPP: Aliran trafik di Lebuhraya GCE lancar, tiada kesesakan

Isabelle Leong
Jun 12, 2020 22:32 MYT
Tinjauan Astro AWANI di Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE) sejak 4 petang Jumaat mendapati aliran trafik kedua-dua belah arah di Plaza Tol Lagong berjalan dengan lancar dan tidak berlaku sebarang kesesakan. - Astro AWANI
Warga kota pastinya mengambil peluang kebenaran rentas negeri menerusi Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) untuk balik kampung memandangkan esok (Sabtu) merupakan hujung minggu.
Bagaimana keadaan dan aliran trafik di lebuh raya utama?
Tinjauan Astro AWANI di Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE) sejak 4 petang Jumaat mendapati aliran trafik kedua-dua belah arah di Plaza Tol Lagong berjalan dengan lancar dan tidak berlaku sebarang kesesakan.
Bagaimanapun, Pengurus Besar Operasi Lebuh Raya Kumpulan Syarikat PROLINTAS, Mohd Fuad Kamal Ariffin menjangkakan peningkatan sebanyak 300,000 kenderaan yang akan menggunakan GCE menuju ke utara dan selatan tanah air hari ini (Jumaat).
Kata Mohd Fuad, jumlah itu bersamaan 40 peratus peningkatan daripada jumlah trafik pada hari biasa.
“Kami sudah membuat persiapan berdepan dengan peningkatan ini menerusi penambahan pembukaan lorong tol.
“Kami juga menambah kakitangan yang bertugas, khasnya Pasukan Peronda di beberapa lokasi utama GCE bagi memastikan aliran trafik lancar dan bersedia untuk membantu pengguna yang mungkin memerlukan bantuan,” katanya Mohd Fuad ketika ditemui di Plaza Tol Lagong pada Jumaat.
Katanya lagi, bagi memberikan keselesaan pengguna dan kelancaran trafik, GCE membuka sepenuhnya beberapa kemudahan seperti kawasan Rehat dan Rawat Elmina dan pusat khidmat pelanggan dari 7 pagi hingga 7 malam.
“Kami jangkakan hujung minggu ini, lebih banyak kenderaan akan menggunakan GCE menuju ke utara.
“Lebih banyak akan menuju ke utara pada sebelah pagi, manakala dijangkakan terdapat peningkatan ke selatan tanah air pada sebelah petang.
“Kami menjangkakan akan menerima peningkatan sebanyak 30 peratus pada hujung minggu ini,” tambahnya.
Beliau menasihati pengguna untuk merancang perjalanan mereka dan melakukan transaksi tambah nilai kad Touch N Go di kiosk layan diri yang disediakan di sepanjang Lebuhraya GCE.
Untuk rekod, GCE kini diterangi sepenuhnya diterangi dengan lampu jalan di sepanjang lebuh raya serta menyediakan laluan khas motosikal bagi memastikan keselamatan pengguna di tahap yang tinggi serta dapat mengurangkan jumlah kemalangan.
#aliran trafik #GCE #Lebuhraya Koridor Guthrie #Mohd Fuad Kamal Ariffin #Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan #Pengurus Besar Operasi Lebuh Raya Kumpulan Syarikat PROLINTAS #PKPP #tinjauan
;