PKPDP Kota Setar tamat, TEMCO di Rumah Pangsa Tongkang Yard dilanjutkan hingga 7 Okt
Irwan Muhammad Zain
September 25, 2020 15:10 MYT
September 25, 2020 15:10 MYT
Kerajaan telah bersetuju untuk menamatkan Perintah Kawalan Pergerakan Secara Pentadbiran (PKPDP) di Kota Setar hari ini.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjelaskan, setakat 24 September, penilaian risiko yang dijalankan oleh anggota Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati masih terdapat lokasi yang berisiko tinggi bagi penularan COVID-19 di daerah tersebut.
"Kawasan paling berisiko tinggi adalah di Rumah Pangsa Tongkang Yard (Seberang Perak).
"Seramai 94 orang penduduk di lokasi tersebut telah disaring dan sembilan daripadanya telah didapati positif COVID-19 yang melibatkan lima buah rumah," katanya dalam kenyataan media hariannya.
Beliau menjelaskan, disebabkan situasi itu, kerajaan bagaimanapun melanjutkan PKPDP secara Bersasar atau Targetted Enhanced Movement Order (TEMCO) di Rumah Pangsa Tongkang Yard (Seberang Perak) sehingga 7 Oktober 2020.
Ismail menjelaskan, pelanjutan tempoh ini diperlukan bagi tujuan membolehkan saringan kedua dilakukan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
"Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Korok Lama juga akan ditutup bermula pada 26 September 2020 sehingga 9 Oktober 2020," katanya lagi.
Ismail Sabri memaklumkan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan membuat kawalan pergerakan di lokasi tersebut bagi memastikan semua penduduk mematuhi SOP dan Perintah Kuarantin di Rumah.
#ATM
#COVID-19
#ismail sabri yaakob
#Kementerian Kesihatan Malaysia
#Kota Setar
#PDRM
#Perintah Kawalan Pergerakan Secara Pentadbiran
#PKPDP
#PKPDP secara Bersasar
#Rumah Pangsa Tongkang Yard
#Sungai Korok Lama
#TEMCO