PKPDP Amanjaya: Proses potong gelang di Zon Mawar, Melor ditangguhkan

Abd Hadi Che Awang
September 13, 2020 11:53 MYT
Proses pemotongan gelang kuarantin di Zon Mawar dan Melor yang dijadualkan hari ini terpaksa ditangguh. -Astro AWANI
Proses pemotongan gelang kuarantin di dua zon yang terletak dalam kawasan penguatkuasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat secara Pentadbiran (TEMCO) Amanjaya iaitu di Zon Mawar dan Melor yang dijadualkan hari ini terpaksa ditangguhkan.
Menurut kenyataan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kuala Muda, ia susulan pemakluman yang diterima Bilik Gerakan berkenaan notifikasi kes baharu COVID-19 yang melibatkan kedua-dua zon berkenaan.
Bagaimanapun, proses pemotongan gelang bagi pelepasan kuarantin di Zon Kenanga akan berjalan seperti biasa mengikut jadual yang ditetapkan.
Sementara itu, tinjauan di hadapan Sekatan Jalan Raya (SJR) Zon Kenanga mendapati beberapa buah kenderaan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kuala Muda dilihat memasuki kawasan zon berkenaan seawal jam 8.30 pagi.
Pada Sabtu, PKD Kuala Muda telah menetapkan 13 September sebagai tarikh untuk penduduk di tiga zon di dalam kawasan TEMCO Amanjaya untuk menjalani proses pemotongan gelang bagi pelepasan kuarantin di beberapa lokasi yang telah ditetapkan.
Ia susulan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran di Aman Jaya, Kedah yang sepatutnya berakhir pada Khamis dilanjutkan tiga hari lagi hingga hari ini.
Menurut Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, keputusan itu dibuat kerana Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) masih menunggu keputusan saringan kedua melibatkan penduduk di kawasan itu.
#amanjaya #COVID-19 #ismail sabri yaakob #Kementerian Kesihatan #KKM #koronavirus #Malaysia #perintah kawalan pergerakan #perintah kawalan pergerakan diperketat #PKPD #PKPDP #TEMCO
;