KUALA LUMPUR:Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) akan mempertingkatkan kawalan di 70 kawasan panas pendatang asing tanpa izin (PATI) ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (PKPDB).

Komander ESSCom, Datuk Ahmad Fuad Othman berkata, kawalan ketat itu antara lain turut membabitkan rondaan bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Pasukan Gerakan Am (PGA)

"Sekarang  ini kita patuh apa yang disuruh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)... kita bantu mereka.

"Kita sudah kenal pasti 70 hot spot dan kita laksanakan rondaan bersama ATM dan PGA. Kita dapat bantuan dua platun ATM dan PGA.

"Selain itu, kita juga buat sekatan jalan raya... kita akan lebih aktif," katanya semasa dihubungi di sini, pada Selasa.

Pada Isnin, Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dalam kenyataan menyebut PKPDB akan dikuatkuasakan di Lahad Datu, Tawau, Kunak dan Semporna, di Sabah sehingga 12 Oktober.

Ia membabitkan seramai 962,661 penduduk.

Ismail berkata semua penduduk tidak dibenarkan keluar dari kawasan PKPDB berkenaan sepanjang tempoh perintah berkuat kuasa.

Katanya, individu bukan penduduk dan pelawat tidak dibenarkan masuk ke empat daerah terbabit, selain semua aktiviti perniagaan dihentikan kecuali premis yang menjual barangan keperluan dan perkhidmatan asas.

KKM mengesahkan terdapat 1,195 kes positif jangkitan COVID-19 di daerah Lahad Datu, Tawau, Kunak dan Semporna dalam tempoh 1 hingga 27 September.