PKPD Top Glove: 2,990 individu disaring sejak Selasa lepas
Bernama
November 20, 2020 20:40 MYT
November 20, 2020 20:40 MYT
SHAH ALAM: Seramai 2,990 individu telah menjalani ujian saringan COVID-19 sejak Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dikuatkuasakan di asrama pekerja Top Glove Klang, Selasa lepas.
Komanden Operasi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Klang ACP Nurulhuda Mohd Salleh berkata berdasarkan bancian yang dijalankan, anggaran sebenar individu akan disaring adalah 5,916 orang berbanding jangkaan awal iaitu 3,550 orang.
Beliau berkata daripada jumlah anggaran sebenar, warga tempatan yang akan disaring di lokasi PKPD adalah seramai 215 orang daripada 57 rumah manakala pekerja di asrama Top Glove pula seramai 5,701 individu.
"Bagi menguatkuasakan perintah PKPD ini, seramai 200 petugas melibatkan pelbagai agensi dan jabatan kerajaan dikerah membuat kawalan serta melaksanakan ujian saringan COVID-19 setiap hari," katanya dalam kenyataan hari ini.
Nurulhuda berkata orang ramai dan badan bukan kerajaan (NGO) yang ingin menyalurkan sumbangan makanan asas seperti beras, ayam, sayur, ikan serta makanan ringan berzat kepada warga tempatan boleh berbuat demikian melalui Bilik Gerakan PKPD asrama pekerja Top Glove dengan menghubungi talian 013-6319326.
PKPD asrama pekerja Top Glove Klang dikuatkuasakan 17 hingga 30 Nov ini melibatkan asrama pekerja lelaki dan wanita serta perumahan di Jalan Abadi 1A/8, Jalan Abadi 1A dan Jalan Abadi 10A/KU8 susulan peningkatan kes COVID-19.
-- BERNAMA