PKPD Telipok Ria: Pagar kawat berduri terpanjang di Sabah

Syah Hairizal Kamalul Arifin
November 27, 2020 13:10 MYT
Ketua Polis Daerah Tuaran, Deputi Superintendan Mohd Hamizi Halim berkata pagar kawat berduri mula dipasang hari ini bagi memudahkan pemantauan kawasan penempatan seluas 28 hektar terbabit. - Foto Astro AWANI
TUARAN: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Telipok Ria di Tuaran Sabah bermula hari ini sehingga 10 Disember 2020.
Menurut Ketua Polis Daerah Tuaran, Deputi Superintendan Mohd Hamizi Halim susulan itu pagar kawat berduri mula dipasang hari ini bagi memudahkan pemantauan di kawasan penempatan seluas 28 hektar terbabit.
"Bermula pukul 8 pagi tadi sepasukan anggota PDRM bersama Angkatan Tentera Malaysia dan Tentera Laut Diraja Malaysia TLDM telah mula memasang pagar kawat berduri di seluruh kawasan Telipok Ria ini yang berkeluasan 70 ekar atau 28 hektar.
"Pemasangan pagar kawat berduri ini adalah yang terbesar (terpanjang) di Sabah iaitu sepanjang 1.7 kilometer panjang.
"Kawasan ini sebenarnya adalah kawasan penempatan berpagar dan terdapat beberapa bahagian pagar yang telah rosak dan dibocorkan, jadi dengan adanya kawat berduri ini akan memudahkan tugas pemantauan keluar masuk," katanya dalam sidang media di Pos Kawalan Utama Telipok Ria, Tuaran pada Jumaat.
Tambahnya dengan pemasangan kawat berduri terbabit urusan saringan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sabah JKNS dapat dijalankan.
Sementara itu dalam sidang media sama menurut pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Tuaran, Jani Lani, bantuan awal barangan keperluan asas mula diagih-agihkan di penempatan terbabit bermula 23 November 2020.
"Sebelum pelaksanaan PKPD di Telipok Ria ini JKM telah berbincang bersama Jawatankuasa Pengurusan Bencana COVID-19 daerah Tuaran dan memutuskan memberi bantuan awal pada 23 dan 24 November lalu.
"Bantuan awal tersebut berjumlah 3,544 pek bakul makanan yang telah diagih-agihkan mengikut blok-blok dan terdapat 30 buah blok keseluruhannya.
"Bantuan awal ini adalah bagi mengelakkan sebarang masalah kekurangan barangan keperluan apabila PKPD dilaksanakan," katanya.
Tambahnya sebuah pusat gerakan JKM akan didirikan di kawasan tersebut bagi memudahkan urusan keperluan makanan yang mendesak melibatkan 18,000 penduduk di Telipok Ria sepanjang tempoh 14 hari PKPD dilaksanakan.
Pada 22 November lalu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melaksanakan sebanyak 2,609 saringan di Taman Telipok Ria dan telah merekodkan sebanyak 253 kes positif COVID-19 dengan 581 sampel saringan yang menunggu keputusan.
#COVID-19 #PKPD #perintah kawalan pergerakan #telipok ria #TLDM #tentera #polis #Kementerian Kesihatan #KKM #tuaran sabah #Tuaran #kawat berduri terpanjang
;