Kementerian Wilayah Persekutuan akan memindahkan sejumlah penduduk di bangunan Selangor Mansion dan Malayan Mansion di Jalan Masjid India yang kini dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Menterinya, Tan Sri Annuar Musa berkata, pihaknya akan mempertimbangkan cadangan yang dikemukakan Kementerian Kesihatan (KKM) selepas mendapati kepadatan penduduk di kedua-dua bangunan itu terlalu tinggi.

“Memang petanda awal menunjukkan ada beberapa unit... sampai 30 orang tinggal di satu unit (di Selangor Mansion). Jadi kalau itu berlaku (benar), di sini ada 160 unit, kalau 10 orang seunit, jumlahnya sudah 1,600 dan dua blok bermakna kira-kira 3,200 orang.

PKPD ini melibatkan 5,000 hingga 6,000 penghuni di 365 unit kediaman dan premis perniagaan di bangunan itu. - Foto Astro AWANI / SHAHIR OMAR

“Di sana (Malayan Mansion) pun hampir 3,200 orang, jadi hampir 7,000 orang keseluruhan. Kita mengendalikan jumlah besar kontak rapat. Jumlahnya besar, lebih besar daripada sebuah kampung.

“Saya perlu lebih berhati-hati dan tengok segala aspek untuk meminimumkan masalah, menguruskan pekerja kesihatan, keselamatan, kebajikan, bekalan makanan termasuk psikologi,” katanya ketika ditemui media selepas meninjau pelaksanaan proses PKPD di kedua-dua bangunan tersebut pada Selasa.

Ujarnya, buat masa ini, pasukan kesihatan akan memasuki bangunan tersebut bagi membuat pensampelan selain penilaian sewajarnya susulan kepadatan penduduk yang terlalu tinggi.

“Apabila kita mendapati kepadatan terlalu tinggi dan KKM memberi nasihat supaya mereka ditempatkan semula, kita akan melihat kepada kemungkinan itu.

“Bermakna mereka (penduduk) perlu ke pusat kuarantin. Bergantung juga kepada peningkatan jumlah kes yang dipengaruhi oleh kepadatan penduduk.

Perintah ini akan berkuatkuasa mulai 7 April 2020 sehingga pengesanan ini tamat. - Foto Astro AWANI / SHAHIR OMAR

“Di sini ada yang tinggal ikut shif, ada yang duduk satu rumah waktu siang, ada yang duduk malam. Bila kita laksana PKPD, semua 20 atau 30 orang serumah perlu duduk sekali pada waktu sama.


“Ia akan menyebabkan situasi lebih buruk, dan jika itu yang berlaku selain KKM memberi nasihat supaya jumlah mereka dikurangkan kepada satu jumlah yang mudah diurus dan lebih selamat dari segi kesihatan, kita tiada pilihan lain kecuali bawa mereka ke pusat kuarantin,” jelasnya.

Pada masa sama, pihaknya juga telah mendapatkan kerjasama Keduataan India, Pakistan dan Bangladesh bagi memudahkan pihaknya dalam beberapa proses terutama dokumentasi dan komunikasi.