TAWAU: Polis mengesan terdapat penduduk di lokaliti yang dikenakan perintah kawalan pergerakan diperketat (PKPD) bertindak meninggalkan rumah mereka sebelum pihak berkuasa memasang kawat berduri dan sekatan jalan raya (SJR) di kawasan itu.

Ketua Polis Daerah Tawau ACP Peter Umbuas berkata, ia perbuatan yang tidak bertanggungjawab kerana boleh menyebabkan wabak COVID-19 semakin merebak.

"Kepada penghuni yang kita kenal pasti, dan kita kenal melalui pasukan-pasukan bersepadu yang telah diarahkan oleh Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB), kita akan mengesan mereka.

"Dan mereka nanti akan diarahkan kuarantin di pusat kuarantin Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) iaitu di Balung," katanya ketika ditemui semasa meninjau penugasan SJR di Bandar Sri Indah di sini semalam.

Sehubungan itu, polis akan mengenal pasti rumah yang ditinggalkan kosong dan membuat senarai mengikut penama pada rumah tersebut untuk dikuarantin wajib selama 14 hari di pusat kuarantin KKM dan menjalani ujian saringan.

"Antara lain, kita akan pergi ke rumah-rumah dan kita akan dapatkan penghuni-penghuni yang berdaftar itu. Daripada situ kita cuba kesan.

"Setakat ini, memang kita tahu bahawa apabila kerajaan isytiharkan PKPD di sesuatu lokaliti, memang ada yang cuba keluar daripada kawasan tersebut untuk tinggal di luar.

"Itu yang membimbangkan kita. Niat kita baik, supaya mereka ini dapat buat ujian swab dan sekiranya mereka positif, mereka tidak merebakkan atau menularkan COVID-19 ini," tambahnya.

Untuk rekod, sebanyak 13 lokaliti di sekitar daerah Tawau dikenakan PKPD, melibatkan 17,804 penduduk.

Antaranya ialah Kampung Simpang Tiga Merotai, Kampung Baru Pasir Putih, Fasa 2 Taman Semarak, Kampung Ranggu Batu 10,Kampung Muhibbah Raya, Taman Sri Bukit, Taman Cahaya, Jalan Tengku Osman, Kuarters Bomba Tawau, Bandar Sri Indah, Jalan Mesrah, Kampung Titingan dan Golden Hill Tawau.

Satu lagi lokaliti di Taman Villa Mas Tawau dikenakan PKPD bermula hari ini sehingga 27 April manakala semua lokaliti terdahulu yang dikenakan PKPD dilanjutkan 14 hari lagi.