PKPD Plaza Perhentian Kajang: Rapid KL ubah laluan
Fauzi Suhaimi
Oktober 27, 2020 21:48 MYT
Oktober 27, 2020 21:48 MYT
KUALA LUMPUR : Beberapa perkhidmatan bas kendalian Rapid KL Sdn Bhd terbabit dalam perubahan jadual susulan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Plaza Hentian Kajang, bermula esok.
Rapid KL dalam kenyataan memaklumkan, perkhidmatan bas bernombor 450 dari Hab Lebuh Pudu akan berakhir di Stesen Mass Rapid Transit (MRT) Kajang disebabkan tidak dapat memasuki Plaza Hentian Kajang.
“Para penumpang boleh naik atau turun di stesen MRT Kajang dan meneruskan perjalanan mereka menggunakan perkhidmatan alternatif.
“Bagi perkhidmatan Smart Selangor laluan KJ01 ke Bandar Kajang dan KJ04 ke Presint 3, Putrajaya, laluan-laluan tersebut akan dialihkan dan memulakan operasi dari Stesen MRT Stadium Kajang.
“Perkhidmatan Bas Perantara MRT laluan T464 dari Teras Jernang ke Stesen MRT Kajang juga tidak akan memasuki Plaza Perhentian Kajang,” katanya pada Selasa.
Dalam pada itu, Rapid KL ingin mengingatkan para penumpang untuk sentiasa mengamalkan tahap kebersihan diri terbaik, memakai pelitup muka serta mengamalkan kawalan kendiri.
“Dalam memainkan peranan untuk mengurangkan risiko jangkitan COVID-19 terhadap pelanggan dan kakitangan, Rapid KL mengambil langkah menurut prosedur operasi standard (SOP) seperti disinfeksi dalaman bas setelah tamat perkhidmatan, penjejakan kontak menggunakan Kod QR dan saringan kesihatan Kapten bas sebelum memulakan tugas,” kata kenyataan itu.
#PKPD
#Rapid KL
#PKPD Plaza Hentian Kajang
#bas
#bas 450
#Hab Lebuh Pudu
#MRT Kajang
#SMART Selangor
#Kajang